Saya merujuk kepada berita malaysiakini bertajuk BBC blasted for interviews with 'rejected leaders' .
Saya berasa malu bagi pihak rakyat Malaysia kerana seorang menteri kerajaan pusat tidak merasa malu meminta sebuah badan penyiaran bebas bertaraf dunia seperti BBC untuk 'tidak memberi tempat kepada pemimpin parti pembangkang yang telah ditolak oleh rakyat...untuk menyuarakan pandangan mengenai politik dan keadaan semasa di negara ini dalam rancangan televisyen kendaliannya'.
Apakah Zainuddin Maidin sebagai seorang bekas wartawan, tidak memahami peranan BBC dalam dunia penyiaran sebagai badan bebas yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan British yang kini dipimpin oleh Tony Blair? Sehingga adakalanya, BBC juga boleh mengkritik Blair dan penglibatannya dalam Perang Iraq.
Adakah Zainudin fikir BBC itu sama seperti Kementerian Penyiaran yang diketuainya? Iaitu sebuah kementerian yang tugasnya tidak lain daripada menjadi alat propaganda semata-mata? Memanglah menjadi tugas Zainuddin untuk memastikan tidak ada kritikan dibuat terhadap kerajaan yang dia menjadi anggota kabinetnya.
Tetapi bidangkuasa Zainudin terhad kepada media cetak dan elektronik arus perdana di Malaysia sahaja. Di Malaysia, beliau bolehlah menganggap dirinya 'raja' pengawal media arus perdana. Tetapi beliau tidak berkuasa ke atas media alternatif dan juga Internet.
Beliau telah meminta BBC agar jangan lagi memberi 'pentas' kepada ahli politik yang tidak sebulu dengan ahli politik BN yang beliau menjadi anggotanya lebih-lebih yang 'ditolak oleh rakyat'.
Apakah maksud 'yang ditolak oleh rakyat'? Jika ia bererti 'tidak ada pengikut' langsung, maka tidak ada pemimpin yang ditolak oleh rakyat. Kalaupun pemimpin itu tidak menang dalam pilihanraya, itu bukan alasan bagi Zainudin meminta BBC tidak memberi peluang kepada mereka. Apakah, dalam skima Zainuddin, pandangan minoriti tidak ada tempat langsung di Malaysia yang sedang menuju ke era Wawasan 2020?
Memang diakui, pemimpin parti pembangkang di Malaysia tidak ada tempat dalam media arus perdana. Media tersebut sentiasa memutarbelitakan kenyataan mereka supaya kelihatan seperti 'crook' dalam cerita koboi dan 'Red Indian'. Hanya media luar negara, yang bertaraf dunia, seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera sahaja yang memberi peluang kepada parti pembangkang.
Adakah Zainuddin merasa cemburu dan tergugat dengan peluang yang diberikan oleh media antarabangsa kepada pemimpin golongan minoriti untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai cara pemerintahan di Malaysia?
Nampaknya, Zainuddin ini menentang globalisasi. Mungkinkah dia terpengaruhi dengan konsep 'glokalisasi' yang sedang dipopularkan oleh Timbalan Perdan Menteri Najib Razak?
