Most Read
Most Commented
Read more like this

Surat [#1]Vision School just an eye wash[/#] (Dec 16-17) oleh Mana Vision dirujuk. Jawapan kepada gabungan pendidikan untuk semua kaum terdapat di sekolah kebangsaan.

Sebenarnya ia telah terkandung di dalam Penyata Razak yang berniat murni tetapi telah diabaikan oleh kerajaan yang memerintah dan juga kerana dasar perkauman yang kuat di kalangan ketiga-tiga bangsa utama di Malaysia yang tidak dapat menerima Sekolah Kebangsaan kerana bahasa penghantarnya adalah bahasa kebangsaan yang kebetulannya adalah bahasa Melayu (ini adalah hakikat).

Sepatutnya sekolah kebangsaan telah lama dikembangkan dan jika ada apa-apa kelemahan ia patut diperbetulkan.

Mereka mengatakan bahawa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, tetapi bahasa kebangsaan diinjak-injak bagaikan tidak laku.

Ini termasuklah orang Melayu yang sudah patah lidahnya apabila lama berada di luar negara dan juga yang berlagak seperti seolah-olah berada di barat walaupun di dalam negara sendiri. Tidak lupa para menteri yang pasti akan berlagak dengan bahasa asing apabila berhadapan dengan kamera.

Perhatikan sahaja iklan di TV, NTV7 dan TV3 penuh dengan iklan berbahasa Inggeris. TV2 lagi teruk, 80 peratus agaknya penuh dengan rancangan Inggeris dan Hong Kong. Baru-baru ini NTV7 mewartakan yang filem Kuch Kuch Hota Hei akan ditayangkan pada hari raya pertama. Di manakah sensitiviti pemerintah dalam hal ini? Agaknya yang suka menonton TV kita adalah rakyat Amerika, UK dan Bangladesh (Hindustan).

Apakah GPMS dan Suqiu di dalam rayuan masing-masing ada menekankan peri pentingnya cintakan bahasa kebangsaan. Ataupun hanya di mulut dan kertas sahaja. Bahasa jiwa bangsa...

Saya pernah ke Negara Thai dan Jepun dan menyaksikan sendiri semua rancangan dialih bahasa ke dalam bahasa Siam dan Jepun sehinggakan rancangan yang berupa Smartshop juga dialih bahasa. Mereka bangga dengan bahasa mereka. Yang hairannya kenapa ramai juga pelancong yang pergi ke sana. Pelancong pula yang terpaksa belajar bahasa mereka.

Di negara kita tidak berlaku perkara tersebut. Semua kaum bersalah di dalam hal ini dan sudah tentu, kerajaanlah yang paling patut dipersalahkan kerana mengamalkan dasar pecah dan perintah, yang menyebabkan semua kaum mementingkan diri masing-masing.

Seorang Mat Salleh yang juga kawan saya ketika sama-sama bekerja di BP ada juga bertanya, Malaysia ini adakah bahasa rasmi, kerana beliau tidak nampak akan kepentingan bahasa rasmi di negara ini. Pada pandangannya, seolah-olah Malaysa tiada identiti tersendiri.

Jadi diharapkan agar semua kaum, di samping memperjuangkan rayuan masing-masing, janganlah dilupakan perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan dan cubalah kenang-kenangkan apa yang telah dipelajari semasa di sekolah, ingatkah anda lagi kepada Rukunegara dan lagu Negaraku ?

Kamera Apo telah membuktikan yang segelintir rakyat bukan Melayu dan Melayu tidak tahu menyanyikan lagu Negaraku . Jika tidak tahu, cubalah bertanyakan pada diri sendiri, adakah aku betul-betul setia dan cintakan tanahair ini? Tepuk dada, tanyalah selera.

ADS