Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya merujuk kepada surat MIC still the best bet for Indians .

Ramai sebelum ini memberikan pendapat mereka mengenai isu ini termasuk menyalahkan kerajaan dan MIC. Izinkan saya melontarkan satu perspektif lagi dalam isu ini. Saya adalah antara kaum minoriti India di negara ini yang tidak mahu menyalahkan sesiapapun atau hanya bergantung kepada nasib untuk memajukan diri sendiri.

Saya percaya orang India berjaya dan terkenal di pelusuk dunia kerana mereka bergantung kepada usaha gigih mereka sendiri. Sebab itu, kita boleh lihat terdapat seorang dua orang India dalam senarai 10 orang terkaya di negara kita. Tetapi, saya setuju, ini bukanlah kayu pengukur kekayaan keseluruhan kaum India.

Apa yang saya ingin tunjukkan di sini adalah pengorbanan, dedikasi, kejujuran serta usaha gigih yang menjadi intipati kejayaan orang India di negara ini. Banyak lagi pencapaian orang India sekiranya kita lihat dari segi pendidikan, korporat, sosial dan sukan untuk negara ini.

Semua ini akan hanya tinggal mimpi sekiranya mereka bergantung kepada kerajaan atau MIC sahaja dan tidak berdikari. Persoalan saya ialah adakah generasi muda kaum India betul-betul mengerti akan kedudukan mereka sebagai kaum minoriti di Malaysia?

Adakah mereka menjiwai realiti bahawa hanya status warganegara diwarisi mereka dan bukannya harta berjuta-juta dari nenek moyang mereka? Adakah mereka betul-betul faham bahawa mereka tidak ada hak istimewa di negara ini, selain status warganegara? Adakah mereka sedar bahawa MIC adalah satu parti komponen yang lemah dalam BN? Adakah mereka prihatin bahawa mereka majoritinya lahir sebagai miskin?

Kalau betullah mereka sedar akan persoalan-persoalan yang saya lontarkan tadi, maka sudah tentu mereka tidak akan ketinggalan mahupun bergantung kepada kerajaan dan MIC bagi mempertahankan maruah mereka sendiri. Tanyalah saudara bangsa Cina kita. Mereka pun datang sebagai pendatang tetapi status ekonomi mereka jauh lebih tinggi.

Status ekonomilah yang secara automatiknya mendatangkan hormat kepada satu-satu bangsa. Ada kita kerap mendengar kuil Buddha atau tokong Cina dirobohkan? Sebenarnya, saya lihat isu Hindraf sebagai tidak lebih daripada kes menagih hormat dari kerajaan terhadap status kaum India di Malaysia.

Ini tidak bermakna saya memperkecilkan perjuangan mereka mahupun memuji dasar-dasar kerajaan. Bagi saya, ada cara lain untuk orang India mempertahankan maruah mereka. Pertama, orang India semestinya sedar dahulu bahawa sebahagian besar masalah mereka berpunca daripada diri mereka sendiri.

Malas dan kurang berdisiplin, kegiatan gengster, arak, institusi rumahtangga yang lemah, kurang berpendidikan, perbezaan fahaman agama, tarikan filem Tamil adalah antara isu-isu yang perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Ini realiti yang pahit tetapi kita harus hadapi sekarang sebelum ia terlambat.

Kedua, masalah perpaduan yang sering menghantui kaum ini sejak dulu lagi. Lihatlah berapa banyak parti politik yang mewakili kaum India. Hanya selepas mengatasi masalah-masalah dalaman ini, barulah kita boleh menyalahkan pihak ketiga. Malah, saya percaya kaum India tidak akan menyalahkan sesiapapun atau bergantung kepada MIC, sekirannya setiap unit rumahtangga orang India di negara ini sedar akan realiti kaum minoriti, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di mana-manapun.

Persoalannya, adakan kaum India bersedia untuk bangkit seperti penduduk Jepun selepas pengeboman Hirosaki dan Nagashima? Adakah mereka sanggup menerima demonstrasi Hindraf sebagai satu 'wake-up call' bagi memperbetulkan diri mereka sendiri dan bukannya sebagai kes menentang kerajaan? Generasi muda, tepuk dada tanyalah selera.

ADS