Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pasti berada dalam kegusaran yang amat sangat. Kerusi panas yang didudukinya makin dipertikaikan akar umbi.
Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin sedang membaca situasi semasa bagi membolehkannya menggantikan tempat Abdullah dengan niat memperbaiki kedudukan Barisan Nasional (BN) di mata rakyat jelata, yang telah memberi amaran awal kepada pemerintah yang sedia ada.
Ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, pula buat masa ini, mungkin memendamkan sesuatu yang boleh mencabar kepimpinan Abdullah yang dilihat amat lemah, seperti yang didakwa oleh ayahandanya dalam temubual dengan Malaysiakini.com menjelang hari-hari terakhir pilihanraya umum ke-12.
Jika dianalisis secara mendalam, keputusan pilihanraya itu yang menguntungkan pembangkang akibat faktor Pak Lah sendiri. Ketika bersama wartawan, jawapan Abdullah cukup membosankan - "akan difikirkan". Ditanya tentang pemberian bonus kepada kakitangan, jawapan Abdullah ialah "akan difikirkan".
Kakitangan awam, jumlah lebih sejuta orang, masih tertanya-tanya tentang pemberian bonus tanpa ada sebarang penegasan daripada Abdullah.
Bagi Mukhriz pula, jagoan baru ini - mungkin belajar memiliki karisma ayahnya - pasti mengocak pucuk pimpinan.
Ketakutan Abdullah terhadap kemenangan anak Tun Mahathir Mohamad ini boleh dilihat dengan meletakkannya di kerusi parlimen Jerlun - dengan harapan Mukhriz akan tewas. Percaturan ini silap.
Najib perlu melakukan sesuatu bagi mengubah pandangan rakyat kepada BN secara drastik.
Makin lama Abdullah dibiarkan berkuasa, makin bergoncang BN. Abdullah sudah hilang pengaruh dalam kalangan orang Cina yang beranggapan Pak Lah seorang yang lena.
Orang yang kuat lena, pasti gagal membawa kemajuan dan aliran masuk perkembangan ekonomi.
‘Teori Rahman' yang sinonim dengan orang Umno, ada kebenarannya. Namun akhir ini sesudah pilihanraya umum ke-12 mungkin dipercayai akan menemui penghujungnya.
Huruf A dulunya dianggap milik Datuk Seri Anwar Ibrahim - kurang hampir tepat. Digantikan Abdullah yang diharap oleh semua rakyat akan mengubah senario politik keras Dr Mahathir yang memangsakan Anwar dengan cara yang cukup kejam.
Perkembangan 2008 hingga pilihanraya ke-13 berkemungkinan Anwar boleh melakukan sesuatu sekiranya Abdullah kekal memerintah.
Anwar diyakini individu yang boleh melakukan kejutan politik setelah tamat tempoh larangan dan sekatan berpolitik. Apa sahaja boleh berlaku kerana karisma dan penerimaan rakyat terhadapnya sukar diduga.
Jika berlaku sedemikian, huruf A dalam ‘teori Rahman' kembali kepada Anwar dan timbul pertanyaan sesudah itu, huruf N milik siapa?
