Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berjaya membentuk kerajaan pusat selepas parti pimpinan Datuk Seri memperoleh majoriti mudah dalam pilihanraya umum ke-12.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri yang telah memberi saya, keluarga saya serta rakan-rakan seperjuangan saya, satu kerajaan kukuh yang boleh membela nasib bangsa dan generasi warisan saya kelak.
Saya juga ingin merakamkan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri sebagai perdana menteri Malaysia, merangkap pengerusi BN dan juga presiden Umno yang merupakan tulang belakang kepada kedaulatan negara saya Malaysia yang aman dan damai ini.
Izinkan saya merendahkan diri di hadapan kewibawaan Datuk Seri sebelum saya membentangkan dengan ringkas rayuan saya ini.
Dalam sejarah kepimpinan BN, tidak pernah ada penindasan terhadap sesuatu kaum atau bangsa secara sengaja oleh pucuk kepimpinan yang diterajui oleh Datuk Seri, mahupun bekas perdana menteri-perdana menteri Malaysia.
Seluruh rakyat Malaysia sedar dan yakin bahawa Datuk Seri dan semua perdana menteri Malaysia sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat sebelum sesuatu keputusan diambil.
Bagaimanapun, mekanisma yang ditetapkan oleh kerajaan pusat bagi menyalurkan bantuan mungkin mengalami sedikit masalah disebabkan individu-individu yang tidak bertanggungjawab membela nasib bangsa mereka sendiri.
Dengan kurnia Yang Maha Esa, masalah ini telah diatasi dalam pilihanraya yang ke-12 baru-baru ini dengan penyingkiran individu-individu tersebut daripada arena politik Malaysia.
Sebenarnya masalah inilah yang ingin disampaikan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) pada 25 November 2007.
Walaupun cara yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin tersebut mungkin tidak menyenangkan hati Datuk Seri, tetapi pesanan yang disampaikan itu sangatlah relevan kepada keadaan masyarakat yang dibela mereka.
Satu persoalan yang wajar dipertimbangkan adalah, ke manakah hala tuju yang perlu diikuti suatu masyarakat yang telah dihantui kemiskinan dan penderitaan selama lebih 28 tahun?
Kalau bukan di kaki jalanraya Kuala Lumpur pada awal pagi 25 November 2007, di manakah lagi mereka hendak pergi, Datuk Seri, untuk menyuarakan penderitaan mereka.
Apakah tindakan alternatif yang ada kepada pemimpin-pemimpin Hindraf? Sedangkan wakil bangsa kami dalam kerajaan pusat sendiri tidak mempedulikan kepentingan masyarakat seperti dibela pemimpin Hindraf.
Jelas sekali bahawa pemimpin Hindraf ikhlas dalam perjuangan mereka untuk membela nasib rakyat, Datuk Seri, yang miskin. Menjadi satu kepastian bahawa pemimpin-pemimpin ini sanggup bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri untuk kepentingan bersama rakyat Malaysia.
Justeru, saya merayu kepada Datuk Seri supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 13 Disember lalu.
Saya amat yakin Datuk Seri akan menimbangkan rayuan saya ini yang dibasahi dengan titisan air mata rakyat Malaysia yang miskin dan kurang berupaya demi membela nasib dan warisan generasi bangsa mereka.
Semoga rakyat Malaysia dikurnia restu Yang Maha Esa.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites