-    +  
Adjust font size:
Tekad naib canselor UM dihargai
Syahadatul Hafizah Abdullah | Apr 22, 08 5:23pm
Isu pemeringkatan (ranking) universiti di Malaysia tidak akan habis untuk diperbahaskan kerana di samping kuantiti yang ada - meliputi bilangan universiti atau graduan yang dilahirkan, penting juga untuk dicermati aspek kualitatif.

Baru-baru ini, naib canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Rafiah Salim telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan universiti itu, bagi peringkat sarjana muda dan pasca siswazah, akan dinilai oleh panel dari universiti ternama luar negara.

Menurutnya, syarat kenaikan pangkat kakitangan akademik kepada taraf profesor juga tertakluk kepada penilaian antarabangsa.

Beliau menjelaskan lagi bahawa langkah itu bertujuan memastikan kedudukan UM, sebagai sebuah universiti ulung, dipertingkatkan di peringkat antarabangsa sehingga setaraf dengan universiti-universiti ternama dunia.

Selain itu, mengikut Rafiah lagi, panel itu bukan saja menilai kertas jawapan, malah kertas soalan yang disediakan UM.
Beliau berkata, Indeks Utama Prestasi (KPI) bagi kakitangan akademik UM akan dinilai berdasarkan prestasi masing-masing, termasuk mewajibkan penghasilan sekurang-kurangnya dua penerbitan akademik setahun dalam jurnal akademik.

Langkah-langkah ini termasuk usaha untuk memulihkan kembali imej universiti-universiti tempatan di mata dunia.

Di peringkat UM sendiri, Rafiah telahpun merangka dan memperkenalkan banyak perkara baru yang bermanfaat kepada universiti itu sendiri.

Nyatalah, kami dapat melihat kesungguhan dan komitmen beliau yang amat padu dalam menangani hal ini.

Selain borang aduan dan analisis khidmat pelanggan disediakan di setiap kaunter fakulti dan kaunter perkhidmatan yang lain di UM, Sistem Penilaian Kursus dan Mata Pelajaran juga sudahpun ditingkatkan dalam talian (online), kuliah Sains dan Matematik sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, purata nilai gred yang sudahpun dinaikkan grafnya, membawalah kepada peningkatan laman web umum (umisisweb) yang dilihat semakin mesra pengguna.

Maka semuanya dilihat sebagai beberapa siri usaha yang ternyata memang baik dan berkesan dalam meningkatkan mutu dan tahap profesionalisme dalam kalangan kakitangan pentadbiran.

Kesimpulannya, saya mewakili warga UM dan keluarga besar Persatuan Mahasiswa Islam UM mengucapkan selamat maju jaya dan terima kasih kepada Rafiah yang mempunyai visi dan misi yang jauh dan luas dalam mengemudi hala tuju universiti alaf baru.


Syahadatul Hafizah Abdullah adalah ketua unit media dan penerbitan, hal-ehwal mahasiswa (HEW) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMIUM)


广告

Diy Day Banner

Advertise here ( RM8/day )

Advertise here ( RM8/day )

Diy Day Banner