Dengar cerita sebuah pertubuhan akan menganjurkan perhimpunan bangsa Melayu dalam satu kongres, yang akan membincangkan masalah-masalah terkini dalam dunia Melayu di Malaysia, sejak dunia politik kaum ini berada dalam keadaan terumbang-ambing dilanda gelombang tsunami buatan sendiri.
Amat malang maruahnya telah diaibkan oleh Allah kerana kegagalan pemimpin-pemimpin bangsa Melayu itu mendakap prinsip-prinsip Islam dengan teguh dan yakin dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah.
Difahamkan, satu kongres yang sama juga telah diadakan pada 2005. Dan mereka telah berjaya menghasilkan sebanyak 20 resolusi tindakan.
Sedihnya sampai hari ini, tiada sebarang tindakn diambil untuk merealisasikan resolusi-resolusi tersebut. Nampak gayanya kepimpinan kongres tersebut umpama hidup segan mati tidak mahu.
Baru-baru ini, dunia Melayu dikejutkan lagi dengan berita bahawa harapan seorang tokoh di negara Melayu dan Tanah Melayu ini, mencadangkan agar bahasa Inggeris diberikan perhatian dan sentuhan yang lebih jitu lagi, bagi mempertingkatkan kebolehan penguasaan bahasa tersebut - kononnya rakyat akan mati di gelanggang pertandingan jika tidak dapat menguasai bahasa tersebut.
Tidakkah pemikiran yang sebegini akan menghancurkan pembinaan dan martabat bahasa Melayu? Nampaknya bahasa Melayu akan ditendang lagi di buminya sendiri. Sudahlah ia diketepikan dengan begitu memalukan dalam penggunaan dan amalannya seharian di negara ini, dengan sikap tokoh-tokoh ternama yang senantiasa berasa malu untuk berbahasa Melayu di setiap kesempatan yang ada.
Mereka bimbang darjat mereka akan jatuh apabila memberikan ucapan mereka dalam bahasa Melayu di khalayak ramai dan di persidangan-persidangan umum di dalam negara. Di manakah slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' yang dicanangkan setiap masa?
Saya ingin bertanya, di manakah letaknya kedudukan bahasa Melayu yang dibangga-banggakan, kononya dipertahankan dalam Perlembagaan Persekutuan, nampaknya hanya dipertahankan dalam kanun perlembagaan sahaja (yang sudah tentu tidak boleh berbuat apa-apa).
Di manakah letak jati diri mereka ini? Setelah 50 tahun merdeka, rakyat Malaysia masih tidak mempunyai jati diri yang kental.
Kalau inilah sikap yang diperlihatkan, apakah yang boleh diharapkan daripada kepimpinan yang sebegini. Lama-kelamaan dunia Melayu akan kehilangan banyak perkara - bermula daripada bahasanya, kemudian dituruti perkara-perkara lain, dan akhirnya dunia Melayu akan kehilangan agama rasminya.
Apakah yang boleh diharapkan lagi daripada perhimpunan dan persidangan kongres bangsa Melayu yang akan diadakan nanti, kalau yang dikatakan tokoh-tokoh kepimpinan dunia Melayu hari ini asyik beretorika dengan kuasa dan kepentingan diri, tanpa sedikit pun berasa malu akan apa yang boleh mereka laksanakan untuk mempertingkatkan maruah agamanya, bahasanya dan bangsanya?
Belum lagi disentuh tentang negaranya atau dengan lebih khusus dunia Melayu secara keseluruhannya. Atau yang lebih menarik lagi tentang saudara-saudaranya yang dikorbankan setiap hari di serata dunia.
Bahasa Melayu masih terumbang-ambing di tanah kelahirannya tanpa sebarang hala tuju yang jelas.
Di manakah sekarang juara-juara dan pejuang-pejuangnya yang sedikit waktu dulu begitu lantang di persidangan-persidangan di pelbagai peringkat dan di media-media sedia ada.
Nampaknya dunia kita ini masih ada pejuang-pejuang bermusim.
Kenapa bangsa Perancis, Jepun, Jerman, China dan banyak lagi - kecuali Melayu - boleh begitu berjaya dalam pelbagai aktiviti mereka, tanpa mengorbankan bahasa mereka?
Bagi saya, cukup-cukuplah kempimpinan Melayu (yang sedia ada) berebut, bergaduh dan beretorika sekadar mencari kuasa yang tidak pernah akan menyelamatkan kita di akhirat kelak, kecuali kita memegang amanah tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites