Melihat prestasi universiti pada hari ini yang kian merosot, satu anjakan baru diperlukan dalam pendidikan peringkat tinggi.
Kepimpinan baru Kementerian Pengajian Tinggi bawah Datuk Mohd Khaled Nordin perlu menimbang cadangan agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas pelbagai pihak untuk menilai prestasi dan pemilihan naib-naib canselor universiti tempatan.
Cadangan ini pernah diutarakan oleh kementerian itu sewaktu Datuk Dr Shafie Salleh. Beliau menyarankan penubuhan sebuah jawatakuasa pemilihan naib canselor universiti (9 November 2005).
Cadangan ini dikemukakan ekoran kemerosotan kedudukan 200 universiti di carta World Universiti Ranking (WUR). Pemeringkatan (ranking) Universiti Malaya merosot dari 89 kepada 169 pada tiga tahun lepas, manakala Unversiti Sains Malaysia pula terkeluar daripada senarai.
Namun demikian sehingga hari ini cadangan tersebut masih belum menerima apa-apa tindakan.
Cadangan ini diyakini dapat mengatasi kemerosotan kualiti dan mutu universiti. Jawatankuasa ini hendaklah menimbang aspek nilai dan ciri kepemimpinan tinggi calon-calon naib canselor, di samping latar belakang akademik yang kukuh, termasuk dari segi penyelidikan, penerbitan ilmiah serta berupaya menjalin rangkaian hubungan antarabangsa di seluruh dunia.
Namun demikian, cadangan penubuhan jawatankuasa ini perlu diperinci dan diperhalusi objektif dan pelaksanaannya.
Penubuhan jawatankuasa itu perlu dilaksanakan atas dasar untuk memastikan universiti dipimpin tokoh terbilang keilmuannya dan komited menjadikan institut pengajian tinggi awam sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta penyelidikan terkemuka dunia dan bukan atas dasar sempit dengan hanya mengharumkan nama universiti, dan bukan pula kerana obsesi dan keghairahan untuk mendapat angka yang lebih kecil di carta universiti dunia.
Ia hendaklah mendukung teguh dasar kebebasan akedemik, ciri-ciri kepimpinan dan nilai budi yang tinggi selain daripada horizon ilmu yang luas dan latar belakang akedemik yang kukuh. Aspek ini sekali gus menolak unsur-unsur kepartian, lobi-melobi, kronisme dan aspek-aspek lain yang hanya merendahkan kredibiliti universiti dan naib canselor.
Seperkara lagi, unsur-unsur utilitarian atau dasar pemilihan naib canselor yang terlampau tunduk kepada kehendak pasaran dan industri. Jika unsur utilitarian ini dilihat sebagai timbang tara yang besar dalam pemilihan naib canselor, ia mampu membantutkan cita-cita dan falsafah universiti.
Falsafah universiti yang penuh dengan cita-cita tinggi dan gagasan besar sudah tentu tidak sama dengan falsafah pasaran dan industri yang lebih berorientasikan keuntungan.
Namun diharap pemilihan naib canselor ataupun rektor itu tidak tersasar jauh daripada memilih golongan yang tidak sepatutnya dan golongan yang tidak dapat menghayati misi serta visi universiti.
Naib canselor dan jawatankuasa tersebut haruslah mengambil kira faktor misi dan falsafah universiti sebagai kayu pengukur dan pertimbangan yang kukuh dalam melaksanakan apa-apa dasar dan keputusan.
Mengambil kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz, univerisiti dahulu dinaungi oleh naib canselor yang umpama pepohon yang rendang. Sikap dan ciri-cirinya amat melindungi dan membina.
Pepohon rendang ilmu dan budi membina generasi mahasiswa yang mampu mengangkat martabat bukan sahaja universiti, malahan negara.
Namun kini, Prof Diraja Ungku Aziz mengibaratkan universiti seperti " politicizing the non-partisan instituition " - terlampau banyak pengaruh politik, bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa, malahan ahli akedemik dan pentadbiran universiti.
Di akhir tulisan ini, secara tuntasnya penulis ingin meletakkan harapan tinggi untuk melihat kegemilangan ilmu dan budi generasi dan ejen utama kepada matlamat itu adalah universiti.
Jika universiti sebagai ejen utama pelaksanaan juga korup dan tercemar, maka sudah tidak ada lagi institusi lain yang boleh diharapkan untuk membina generasi.
Maka, dengan penubuhan Jawatankuasa ini, diharap ia dapat memilih naib canselor dan rektor universiti sebaik mungkin bagi menjayakan hasrat besar itu.
Penulis adalah exco penerangan dan perhubungan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
