Setelah berakhir pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac, parlimen Malaysia bersidang buat pertama kalinya pada 28 April hingga 27 Mei.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melihat senario politik Malaysia sebagai sesuatu yang positif dalam erti kata semak dan imbang dan sekali gus merasakan ia menuju fasa yang lebih baik.
Sidang parlimen kali ini akan memperlihatkan kualiti dan kreadibiliti 222 wakil rakyat yang mendapat mandat untuk memikul tanggungjawab menyuarakan kehendak sebenar rakyat dan untuk melihat personaliti sebenar wakil rakyat pilihan mereka.
Jika sebelum ini, rakyat Malaysia tidak dapat mengikuti siaran langsung sidang parlimen, kali ini RTM mengambil langkah proaktif dan inisiatif awal untuk menyiarkannya selama setengah jam.
Abim cukup menghargai langkah awal RTM itu dalam memberi maklumat mengenai isu yang dibawa oleh setiap wakil rakyat di dalam parlimen kelak.
Ia juga boleh memberi kematangan kepada rakyat untuk menilai prestasi wakil rakyat mereka dan isu-isu yang dibahaskan.
Abim mengesyorkan agar satu perancangan khusus diatur oleh RTM bagi mewujudkan satu saluran atau siaran khas yang menyiarkan perbahasan penuh dan ulasan-ulasan secara langsung seperti di parlimen Britain.
Saluran tersebut hendaklah dibuat secara interaktif bagi membolehkan rakyat memberi ulasan, komen dan cadangan berhubung isu-isu yang dibahaskan.
Abim berharap, dalam sidang parlimen kali ini, wakil rakyat mampu berbahas dengan mantap dan jitu. Wakil rakyat harus mengambil kira fakta sebenar dan tepat dalam setiap sesi perbahasan.
Penggunaan bahasa yang betul dan tepat juga perlu diambil perhatian oleh setiap wakil rakyat agar mesej yang ingin disampaikan jelas, mudah difahami dan mencapai matlamatnya.
Abim juga mencadangkan agar setiap wakil rakyat mempunyai hubungan baik dengan komponen masyarakat sivil yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), ilmuan, ahli akademik dan institusi komuniti akar umbi.
Sehubungan itu, wajar ditubuhkan kumpulan pemikir untuk mengkaji sesuatu isu sebelum dibahaskan di parlimen.
Mengambil pertimbangan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama, diharapkan agar setiap ahli parlimen tidak menimbulkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk Malaysia.
Abim menyeru agar isu-isu sensitif perlulah bersandarkan fakta sejarah, penyelidikan dan pandangan kumpulan pakar mengenainya.
Harapan tinggi diletakkan agar sidang parlimen kali ini akan menampakkan kematangan setiap wakil rakyat dan mampu menyuarakan aspirasi sebenar rakyat.
Penulis adalah setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
