Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin menegaskan bahawa kenaikkan harga petrol tidak lari daripada memberikan kesan yang besar kepada pelajar dan mahasiswa.

PKPIM berpendapat rakyat harus dimaklumkan sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal dan kenaikan tersebut lebih baik dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Makluman awal dapat mengelakkan daripada berlakunya rasa tidak senang dan membantu rakyat lebih bersedia menghadapi kenaikkan harga minyak.

Dalam hal ini, sektor pengangkutan awam kini telah turut bersuara bahawa mereka juga perlu menaikkan harga tambang perkhidmatan. Malah ada yang mendesak agar dinaikkan sehingga seratus peratus.

Kenaikan tambang pengangkutan awam yang dijangka berlaku ini akan membebankan lagi mahasiswa yang rata-rata menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak. Ditambahkan lagi kenaikkan harga minyak akan membuatkan harga makanan turut naik.

Menyedari hal ini, PKPIM ingin mencadangkan agar para mahasiswa diberikan subsidi dan harga khas pengangkutan awam. Menggunakan kad pengenalan pelajar yang sedia ada memudahkan semua pihak mengenali dan menguruskan keistimewaan ini.

Seperti yang berlaku di negara maju terutamanya Eropah, rakyat yang berstatus pelajar sentiasa diberikan harga-harga khas yang lebih murah bagi membantu mengurangkan beban pelajar.

Bukan sahaja pengangkutan awam, malah buku, makanan, penginapan turut diberikan harga khas yang murah kepada pelajar. Malaysia juga harus mencontohi amalan ini.

Melalui mekanisma ini, PKPIM percaya ia dapat membantu para mahasiswa mengurangkan bebanan mereka di dalam menghadapi kenaikan harga ini.

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli merupakan exco penerangan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS