Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ura-ura penurunan caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 50 peratus daripada yang asal umpama memberi satu sinar harapan baru kepada golongan mahasiswa.

Jika benar khabar angin ini, ia bermakna satu rahmat buat peminjam, bekas peminjam dan juga bakal peminjam PTPTN kerana sedikit sebanyak mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana sudi mengkaji semula caj perkhidmatan PTPTN ini dengan bantuan dan nasihat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan setelah perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dalam pertengahan bulan Mei lalu.

Sebelum ini juga telah banyak pertubuhan pelajar yang meminta kerajaan memandang serius isu caj perkhidmatan tiga peratus yang diragui statusnya sama ada riba, ataupun tidak, dan dianggap membebankan.

Saya selaku mahasiswa yang masih lagi kabur tentang pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan caj perkhidmatan tiga peratus PTPTN, sama ada riba atau tidak, amat mengharapkan penjelasan lanjut majlis itu bagi menguraikan kekusutan minda ini.

Saya pasti ramai lagi mahasiswa tertanya-tanya masalah yang sama.

Di sini ingin juga saya mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan caj perkhidmatan sebenarnya?

Yang menjadi perbalahan, adakah ia akan menjadi 1.5% daripada jumlah pinjaman keseluruhan atau masih kekal menjadi 1.5% daripada jumlah baki pinjaman setiap bulan.

Mohon penjelasan daripada pihak bertanggungjawab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS