-    +  
Adjust font size:
Pembantu siswa mahu buli?
Pembantu Cakna | Jun 27, 08 4:53pm
Kemasukan pelajar-pelajar baru ke universiti bagi sesi 2008/09 kian hampir. Semakin hari debaran kian terasa. Apa tidaknya, harapan besar universiti terletak atas bahu saya dan pembantu mahasiswa yang lain.

Walaupun pembentukan generasi siswazah merupakan tanggung- jawab universiti, namun, kamilah golongan terawal yang bertanggungjawab membentuk "tanggapan awal" pelajar-pelajar baru terhadap citra generasi yang ingin dibentuk.

Harapan masyarakat terhadap Minggu Haluan Siswa (MHS) juga amat besar - bagi melahirkan mahasiswa bertaraf dunia dan mempunyai minda kelas pertama yang menjadi harapan bangsa.
 
Kenyataan naib canselor Universiti Malaya, Datuk Rafiah Salim - bahawa MHS kali ini akan dipenuhi program ilmiah dan tidak dibenarkan sama sekali unsur-unsur buli oleh pelajar lama (atau pembantu mahasiswa) dikenakan kepada pelajar baru - melegakan hati saya.

Bahkan budaya-budaya yang tidak sesuai dan tidak senonoh juga sudah diharamkan. Ia lebih memudahkan misi sebenar Minggu Haluan Siswa tercapai.
 
Namun, apa yang mengecewakan saya, belum lagi bermula MHS pelbagai masalah timbul.

Baru-baru ini sewaktu hari pelantikan watikah "pembantu mahasiswa", sebilangan besar daripada mereka berusaha mendesak timbalan naib canselor dan naib canselor ekoran pengharaman budaya buli dan sorakan.

Pada masa yang sama mereka juga tidak bersetuju terhadap pengurangan elaun pembantu mahasiswa daripada RM150 kepada RM100.
 
Terus terang saya nyatakan, apakah mahasiswa ini (terutamanya yang lama) amat susah untuk meninggalkan budaya lapuk yang telah diamalkan sejak dahulu lagi dan sukar untuk menerima sesuatu pembaharuan tanpa memikirkan manfaat untuk semua?

Apakah mereka semua ini sudah diprovokasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan?

Atau apakah mereka ini sudah tidak mampu lagi berfikir secara relevan dan positif kesan daripada didikan budaya yang telah diterapkan pada MHS yang telah kami lalui dahulu? Kronik...
 
Sebagai pembantu mahasiswa, sepatutnya mereka secara bersatu padu memikirkan tentang kebajikan dan misi pembangunan mahasiswa dan membantu pihak pentadbiran mencapai cita-cita mereka dalam melahirkan masyarakat berilmu.

Namun apalah kuasa saya untuk mempertahankan semua ini memandangkan saya dan rakan-rakan merupakan golongan minoriti yang suaranya tidak didengari.

Bagaimanapun ketegasan naib canselor perlu dipuji. Biarpun pelbagai desakan diajukan, pendiriannya tetap teguh dalam memastikan Minggu Haluasiswa sifar daripada hedonisme.
 
Jika bantahan ini diterima oleh pentadbiran, saya amat risau untuk memikirkan generasi siswazah bagaimanakah yang akan lahir pada masa akan datang untuk memimpin umat.

Dan jika ini terjadi, adakah Universiti Malaya masih mampu untuk merealisasikan motonya yang gah berdiri selama ini iaitu "Producing Leaders since 1905"?

Universiti jantung bangsa dan tamadun. Jika minggu suaikenal ini masih pada tahap yang tidak setaraf dengan pemikiran mahasiswa yang kelas pertama mindanya, maka malaplah tamadun bangsa yang diharapkan.


Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner