Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa hari lagi, semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara bakal menerima pelajar-pelajar baru.

Di kebanyakan universiti, pihak pentadbiran sudah mula bertungkus-lumus membuat persediaan menyambut tetamu-tetamu yang hadir dari seluruh negeri dan daripada pelbagai latar belakang.

Mereka datang dengan matlamat yang satu - untuk menimba seberapa banyak khazanah ilmu di samping mengutip pengalaman yang sangat berharga.

Saya percaya dan yakin, niat murni ibu bapa ingin melihat anak yang dihantar ke universiti keluar sebagai seorang lulusan yang mempunyai keyakinan tinggi dan mampu mengubah masyarakat.

Paling kurang, ia mampu memperbaiki corak kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan teratur.

Justeru, pembinaannya bermula daripada asasnya. Pelajar-pelajar yang masuk mendaftar, gambaran awal mereka untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru alam kampus yang selama ini dibayang- bayangkan sebagai sebuah pusat "gedung keilmuan" dan keintelektualan.

Maka, Minggu Haluan Siswa (MHS) yang menjadi acara wajib saban tahun sebagai tapak pemula. Mereka akan didedahkan dengan realiti kampus, suasana, kehidupan dan cabaran yang bakal ditempuhi.

Memahami keadaan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah MHS yang lalu, betapa banyaknya kelompangan yang perlu disedari dan ditampung.

Merujuk rintihan 'Mama Terguris' dalam satu surat pembaca di sebuah akhbar Julai tahun lalu, penulis itu terkejut mengenai satu aktiviti dinamakan Stupid Debate yang membincangkan tajuk yang dirasakan sangat tidak munasabah sebagai seorang mahasiswa.

Surat ini diikuti teguran seorang bapa yang juga kesal dengan tindakan Pembantu Mahasiswa sebuah universiti yang menghalang anaknya yang beragama Islam bersolat Zohor.

Oleh hal yang demikian, PMIUM dengan penuh rasa bertanggung- jawab telah membawa isu ini kepada pentadbiran universiti agar dilakukan pembaikan nilai dalam MHS ini.

Naib canselor UM Datuk Rafiah Salim dan timbalannya Dr Azarae Idris dalam satu pertemuan telah mencapai kata sepakat bersama PMIUM agar MHS pada kali ini lebih ilmiah dan mempunyai unsur-unsur pembinaan keintelektualan.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang tidak melambangkan sifat seorang manusia terpelajar haruslah dihentikan, agar digantikan dengan aktiviti yang lebih meningkatkan modal insan yang tinggi.

Saya komited dengan perubahan ini. Saya percaya, bukan sahaja PMIUM, bahkan seluruh ibu bapa sendiri mahukan anaknya mendapat pengisian yang bermanfaat dan berguna setelah diberi peluang menjejakkan kaki ke menara gading.

Jadikan MHS kali ini sebagai titik perubahan bagi membina karisma dan intelektual, sebagai persediaan untuk turun ke gelanggang masyarakat suatu hari nanti.

Muhammad Haafizuddin Abi Rerah merupakan yang dipertua, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS