Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Annuar seru ahli Umno wala'
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 9:06 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Rakyat - terutama umat Islam, sudah tahu apa itu keadilan ala Amerika, demokrasi ala Amerika dan diplomasi ala Amerika.

Rakyat Iraq, Palestin, Libya, Syria, Mesir, Yaman dan beberapa negara lain telah merasainya.

Satu daripada kepakaran mereka, serta agen-agennya adalah keupayaan mempengaruhi dan menggunakan "kayu untuk menumbangkan kayu".

Mereka akan mencari alasan untuk mencampuri urusan dalam negara lain dengan menggunakan penentang, pemberontak dan pembangkang untuk mewujudkan ketidakstabilan dan membawa kepada pertukaran rejim.

Mereka tidak akan berhenti memulas tangan dan telinga sehingga negara itu tunduk dan hidung dicucuk menjadi sekutu mereka.

Hanya solidariti rakyat dan ketahanan nasional serta pimpinan terkuat lagi stabil yang mampu menghalang mereka.

Malaysia tidak terkecuali kerana negara kita juga merupakan sebuah lagi negara Islam yang mengalami perkembangan mutakhir rantau ini serta kebangkitan pengaruh China melengkapkan alasan dan membuka selera Amerika, terutama agensi-agensi pimpinan/prozionis, yang cukup berpengaruh di sana.

Dengan menjangkakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan pada bulan Ogos atauSeptember atau Oktober nanti, mereka khususnya - DoJ dengan koloborasi kayu-kayu yang mencari kuasa, melancarkan sekali lagi tindakan 'preemptive' mereka ke arah pertukaran rejim dengan satu perancangan halus tapi cukup rapi dan terselaras sekali.

Mereka tidak perlukan kebenaran, beban bukti dan tidak perlu mengikut 'rule of law' negara sasar.

Ia cukup sekadar aduan, tuduhan, insinuasi dan persepsi dalam mewujudkan ketidakstabilan sesebuah negara.

Dalam hal ini, kita ahli Umno yang selama ini menjadi tunjang dan benteng utama negara semenjak penentangan kita terhadap Malayan Union hingga kini, harus berupaya dan melipatgandakan iltizam dalam bersolidariti serta wala' bersama saf pimpinan.

Saya menyeru seluruh ahli Umno terus mempamerkan ketahanan dan jati diri pada tahap tertinggi bersama semua pihak lain yang sedar serta bersedia memperkasakan perpaduan umah dan mengukuhkan tahaluf siyasi bersama kita.

Saya menyeru seluruh kekuatan jentera penerangan parti di semua peringkat agar tidak mudah alpa, malah sebaliknya melipatgandakan usaha memerangi setiap fitnah, ugutan, perang saraf yang datang dalam pelbagai bentuk dan jenis saluran media.

Watawa saubil haq, watawa saubil sabr.


TAN SRI ANNUAR MUSA merupakan anggota parlimen Ketereh merangkap Ketua Penerangan Umno.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS