Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Norza akui tidak bersalah beri rasuah
Diterbitkan:  Mar 13, 2009 10:54 AM
Dikemaskini: 11:16 AM

kemaskini 2.35pm Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Norza Zakaria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh pagi ini atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan parti.

Norza, 43, yang juga ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 6.30 petang di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh.

norza zakaria umno macc  130309 Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzan suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan sebagai ahli MT Umno pada pemilihan Umno hujung bulan ini.

Di tempat yang sama dan pada tarikh dan waktu yang sama, Norza didakwa secara rasuah memberikan kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman, suatu suapan iaitu wang tunai RM1,900 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan anggota MT Umno pada pemilihan Umno itu nanti.

Norza mengaku tidak bersalah dan diminta dibicarakan atas dua pertuduhan tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sementara itu, Bernama melaporkan, jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Majistret Ida Rahayu Sharif membenarkan Mohamad Norza diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 April depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Norza yang tiba di mahkamah pada pukul 10 pagi lengkap bersut dengan diiringi beberapa pengawal keselamatan kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Beliau diwakili Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dilakukan oleh peguam kanan persekutuan SPRM Datuk Abdul Razak Musa.

Shafee berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah dengan tarikh sebutan semula yang ditetapkan oleh mahkamah namun meminta supaya tarikh perbicaraan dapat dipercepatkan.

Sementara itu, Halimi, 47, dari No 99, Lorong IM2/88, Taman Medan Mahsyur, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan secara rasuah memberikan kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza masing-masing sebanyak RM1,500 dan RM1,900.

Pemberian wang tunai itu adalah sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi Norza untuk memenangi jawatan sebagai ahli MT Umno pada pemilihan Umno nanti.

Halimi, yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Maran dan diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, turut didakwa di bawah seksyen yang sama dengan Norza dan dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

ADS