Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Pelajaran Tinggi dan Universiti Malaya (UM) diminta menjelaskan insiden menghalang seorang wakil rakyat PKR daripada merasmikan satu majlis anjuran persatuan mahasiswanya.

"Sebagai meluahkan kekesalan, saya telah menulis surat kepada menteri (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) pagi tadi bagi mendapatkan penjelasannya, dengan salinan untuk pihak UM," kata Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya mengumumkan kesediaan bertemu menteri mahupun UM untuk berbincang bagaimana peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi."

Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor itu turut mendakwa beliau mendapat gangguan daripada pegawai keselamatan UM dan pihak yang tidak dikenali daripada merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) di kampus itu, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, tambah Nik Nazmi, beliau berjaya menyampaikan ucapannya yang menyentuh soal kepentingan mahasiswa Islam menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat pelbagai kaum dan tidak menjadi pak turut kepada mana-mana parti politik.

Bercakap dalam sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditangguhkan tengah hari tadi, pemimpin muda PKR itu berkata, beliau terpaksa menyeludup masuk ke kampus tersebut melalui motosikal mahasiswa apabila difahamkan pihak keselamatan UM memantau keluar-masuk kenderaannya.

Presiden PMIUM Shazni Munir dan bekas presiden PMIUM Muhammad Haafizuddin Abirerah turut hadir dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) awal petang tadi.

Turut hadir, dua Adun muda Pakatan Rakyat, Amiruddin Shari (PKR-Batu Caves) dan Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya).

Nik Nazmi juga mendakwa beliau mendapat panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai Muhammad Haafizuddin dan memberitahunya sehari sebelum program, bahawa jemputan kepadanya telah dibatalkan.

Beliau belum berniat membuat laporan polis buat masa ini bagi memberikan peluang kementerian dan universiti terbabit membuat penjelasannya terlebih dahulu.

Mengulas perkara itu, Muhammad Haafizuddin menyuarakan kekesalannya terhadap peristiwa itu yang disifatkannya sebagai "berlaku atas sebab politik" dan tidak relevan kerana, dakwanya lagi, ucapan Nik Nazmi ketika merasmikan program itu tidak langsung mempunyai unsur berkempen.

ADS