Seorang pemuda 26 tahun dari Bukit Mertajam yang pulang dari Amerika Syarikat diletakkan bawah pemerhatian Hospital Pulau Pinang (PGH) hari ini selepas mempunyai simptom influenza A (H1N1).
Pengerusi jawatankuasa kesihatan negeri Phee Boon Poh berkata lelaki itu mengalami demam semalam selepas pulang dari Dallas tiga hari lepas.
"Beliau mendapatkan rawatan di hospital pagi ini dan bimbang yang dirinya mungkin dijangkiti virus H1N1 dan diletakkan di bawah pemerhatian," katanya di Pulau Pinang hari ini, lapor Bernama .
Phee berkata sampel darah lelaki itu telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan keputusannya akan diketahui esok.
Dua minggu lepas, seorang pelancong New Zealand dimasukkan ke wad pengasingan hospital itu kerana disyaki dijangkiti virus H1N1 tetapi kemudiannya ujian darah mendapatinya negatif virus itu.
Semalam, orang lelaki yang melawat Thailand minggu lepas dimasukkan ke hospital Ipoh setelah mempunyai tanda-tanda menyamai serangan H1N1 atau selesema babi.
Lelaki 51 tahun itu menghidap selesema, batuk, demam serta mengalami cirit-birit semasa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping kelmarin.
Thailand setakat semalam mempunyai dua kes jangkitan virus tersebut sejak disahkan serangan wabak tersebut kelmarin.
Lelaki berkenaan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 12.40 tengah dan kajian terhadap sampel darahnya diketahui hari ini.
Bagaimanapun sehingga kini tiada berita lanjut diperolehi tentang lekaki tersebut.
