Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penanti: Pengundi dipindah kawasan Parlimen
Diterbitkan:  May 31, 2009 10:19 AM
Dikemaskini: 6:12 AM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Mansor Othman mendakwa berlaku kes kehilangan nama pengundi dalam senarai pemilih.

Mansor mendakwa, sehingga jam 9.30 pagi tadi, terdapat tujuh hingga lapan nama pengundi, tidak ada dalam senarai pemilih.

Katanya, apa yang berlaku sama seperti ketika pilihanraya umum 2004 lallu di mana ramai pengundi dipindah ke kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.

Dalam pilihanraya umum 2004, ribuan pengundi, terutamanya di Selangor, mendapati nama mereka dipindahkan ke kawasan lain, menyebabkan keadaan menjadi kecoh, dan memaksa tempoh pengundian dilanjutkan hingga jam 8 malam.

Sehubungan itu, Mansor menyuarakan kebimbangan bahawa perkara itu akan menjejaskan jumlah pengundian hari ini.

Lim juga menyifatkannya sebagai satu 'komplot' untuk mensabotaj pengundian hari ini.

Mansor pula berkata, PKR akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jika terdapat banyak lagi kes kehilangan nama pengundi.

Sementara itu, seorang pengundi, Tan Soon Guan yang sudah dua kali mengundi sebelum ini - sewaktu pilihanraya umum 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu - mendapati namanya tiada dalam senarai pemilih di pusat pengundian Jit Sin.

Pemeriksaan kemudiannya mendapati nama beliau telah dipindahkan ke DUN Berapit yang terletak di dalam kawasan Parlimen Bukit Mertajam.

Sementara itu, dalam reaksinya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pengundi sepatutnya memeriksa lebih awal nama mereka dalam senarai pemilih.

Dengan itu, katanya, pihak SPR akan dapat mengenalpasti masalah tersebut.

Oleh itu, Abdul Aziz berkata, mereka tidak boleh menyalahkan SPR mengenai perkara itu.

ADS