Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Mano-Fakhry jangan jejaskan Indonesia-M'sia
Diterbitkan:  Jun 5, 2009 4:57 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Menteri dalam negeri berharap isu isteri Tengku Temenggong Kelantan, Manohara Odelio Pinot tidak disensasikan sehingga boleh menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

"Hanya kerana ia berlaku di kalangan keluarga diraja, ia disensasikan.

"Di sini saya rasa media perlu lebih bertanggungjawab, bukan media

Malaysia tetapi dalam perkara ini ia melibatkan dua negara," Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipetik berkata selepas perhimpunan bulanan kementeriannya hari ini.

Manohara Odelia, yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan, melarikan diri ke Jakarta hujung minggu lalu dari Singapura dan mendakwa beliau "diperlakukan seperti binatang".

Bekas model muda itu yang dikahwini Tengku Muhammad Fakhry Petra pada Ogos tahun lepas sejak kembali ke Indonesia melemparkan pelbagai dakwaan serius terhadap suaminya di pelbagai media republik tersebut.

Rabu lepas, istana Kelantan mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan dakwaan Manohara Odelia itu "urusan peribadi suami isteri" yang perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Menurut agensi berita itu lagi, Hishammuddin berkata tiada laporan polis dibuat oleh Manohara Odelia berhubung dakwaannya itu di negara ini dan siasatan sudah tentu akan dilakukan jika ada laporan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, ketika mengulas perkara yang sama, berkata laporan polis dibuat di Singapura dan pihak berkenaanlah yang membuat siasatan.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau tidak dapat mengesahkan laporan yang mengatakan penulis blog terkenal Raja Petra Kamaruddin berada di Brisbane, Australia bersama isterinya

Marina Lee Abdullah.

Hishammuddin juga berkata beliau tidak ada maklumat di mana lokasi pengendali blog Malaysia Today itu - yang tidak menghadiri beberapa kes mahkamahnya sejak April lalu.

Pada 27 Mei lepas, Jabatan Imigresen dalam kenyataannya percaya Raja Petra menggunakan laluan tikus untuk ke luar negara berikutan tiada rekod keluar masuk dicatat di pintu-pintu masuk negara.

Penulis blog itu dikenakan waran tangkap buat kali kedua minggu lalu oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas tidak hadir untuk perbicaraan kes memfitnah isteri perdana menteri, Rosmah Mansor dan dua yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS