Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat mendakwa, persoalan yang dibangkitkan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kiat Siang mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah perkara yang sama dibangkitkan tiga tahun yang lalu.
Sebelum itu, keadaan Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila Lim melaung: "sudah mati, sudah mati, siapa yang mematikan.. Adakah (projek ini) lombong emas? Jelaskan mengapa kosnya menjadi berlipat ganda."
Ong juga mendakwa, kos PKFZ yang dipertikaikan telah "diputarbelit" oleh individu tertentu, sambil menambah bahawa "sikap histeria" Lim tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.
Menjawab soalan Lim mengapa berlaku kelewatan dalam pengumuman laporan PKFZ, Ong berkata, laporan itu tidak dapat diumumkan segera kerana dokumen-dokumen tertentu perlu diklasifikasikan dan isu indemniti dengan Pricewaterhouse Coopers.
Ong berkata, keseluruhan lapoan tersebut telah diumumkan tanpa sebarang pindaan oleh mana-mana pihak.
Ong akan memberi kementerian menteri mengenai skandal PKFZ lewat hari ini di Dewan Rakyat.
Menurutnya, ini merupakan satu usaha untuk membuktikan bahawa kerajaan adalah ikhlas dan menyedari keperluan rakyat untuk mengenai keseluruhan isu tersebut.
Kos pembangunan PKFZ
Sementara itu, Bernama melaporkan, Ong memberitahu Dewan Rakyat bahawa kos pembangunan PKFZ, termasuk kos faedah bayaran tertangguh kepada kontraktornya, Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), adalah RM4.947 bilion menjelang 2017.
Lembaga Pelabuhan Kelang juga telah mendapatkan pinjaman mudah sebanyak RM4.382 bilion daripada kerajaan pada 2007 bagi tempoh 20 tahun kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk memenuhi obligasi kewangannya kepada KDSB, katanya di Dewan Rakyat.
KDSB merupakan syarikat yang telah menjual tanah kepada LPK dan turut menjadi kontraktor utama bagi pembangunan PKFZ yang dilaksanakan secara "turnkey" atau siap guna.
Mengambil kira pinjaman mudah itu, Ong berkata kos PKFZ akan menjadi sebanyak RM7.453 bilion menjelang 2036.
Bagaimanapun, beliau berkata kos projek PKFZ masih lagi belum dimuktamadkan kerana akaun untuk kerja-kerja pembangunan yang telah siap, masih belum lagi ditutup.
Ia juga masih belum dimuktamadkan kerana Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di peringkat LPK akan menyemak, antara lain, aspek-aspek perundangan serta kemungkinan tindakan undang-undang dan penstrukturan semula kewangan yang mungkin akan memberi impak ke atas kos akhir PKFZ, tambahnya.
Percanggahan kepentingan
Ong berkata RM12 bilion yang disebutkan oleh Lim Kit Siang (Ipoh Timur) adalah anggaran PricewaterhouseCoopers dalam laporannya yang perlu dibayar kepada Kementerian Kewangan, sekiranya LPK menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada kerajaan supaya berpadanan dengan unjuran aliran wang tunai LPK menjelang 2015.
"Anggaran tersebut dibuat atas andaian tiadanya sebarang intervensi kerajaan atau tindakan LPK untuk mempromosi, bahkan menjadikannya berdaya maju," kata Ong.
Tambah beliau, walaupun itu jelas tertera dalam laporan PwC yang diumumkan,
senario semasa telah memperlihatkan adanya tindakan-tindakan tegas lagi menyeluruh yang digaris dan diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan LPK dalam isu ini.
"Maka hampalah individu tukang putar-belit yang menyebarkan pembohongan kononnya hutang PKFZ telah meningkat kepada RM12.5 bilion sekarang," katanya.
Mengenai isu percanggahan kepentingan membabitkan anggota Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai ketua pegawai eksekutif KDSB, Ong berkata:
"Menurut rekod yang ada pada saya, beliau tidak menyandang sebarang jawatan dalam jemaah LPK atau PKFZ ketika transaksi tanah atau pembangunannya yang dimaksudkan berlangsung".
Ong berkata, kini semakin ramai bakal pelabur yang telah menyatakan hasrat untuk bertapak di PKFZ.
Beliau juga memberitahu akan membuat satu kenyataan penerangan Menteri untuk membuktikan kerajaan bersikap telus dan peka terhadap isu ini.
