Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini 12.30pm Calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat tidak bercadang membuat laporan polis terhadap mereka yang membuat dakwaan buruk terhadapnya.

tuan aziz tuan mat Sebaliknya, ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai itu menyifatkannya perbuatan melempar dakwaan tersebut terhadapnya sebagai "satu permainan semasa pilihanraya".

Tuan Aziz berkata, "pendedahan" terhadap dirinya dibuat kerana beliau menjadi calon dalam pilihanraya kecil itu.

"Ini satu budaya dalam pilihanraya di Malaysia, apabila ada pilihanraya pelbagai cerita timbul dan berlaku.

“Tetapi saya tidak tahu apa yang hendah mereka dedahkan,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan skuad risikan khas Pemuda PAS Gua Musang akan mendedahkan siri pembohongan calon BN itu.

Sebelum ini, Tuan menafikan dakwaan yang disebarkan melalui internet bahawa "beliau pernah menyalahguna kuasanya dan terbabit dalam rasuah". Dakwaan itu tersebar tidak sampai 24 jam selepas beliau diumumkan sebagai calon BN di Manek Urai.

Dakwaan di internet itu menyebut Tuan Aziz hidup melebihi kemampuannya ketika menjadi CEO Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB) - jawatan yang disandangnya sebleum dilantik menjadi pengurus di Kesedar.

bm version kerusi dun manek urai 220509

Lamanweb itu mendakwa ekoran Tuan Aziz gagal menjelaskan mengenai gayahidup mewah itu, maka beliau diturunkan pangkat menjadi pengurusan bahagian bersama potongan gaji dan elaun.

Beliau juga didakwa melakukan lawatan yang 'meragukan' ke luar negara serta membawa bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailad untuk tujuan pemasaran.

Juga terdapat dakwaan bahawa beliau menyalahguna kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding untuk jawatan ketua Pemuda Umno Kuala Krai.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Tuan Aziz berkata, beliau tidak mengambil berat atau terlalu memikirkan dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadapnya itu

Katanya, ini kerana beliau seorang yang tidak suka berbalah dengan orang lain, apatah lagi mereka adalah penduduk di kawasannya sendiri.

“Saya orang yang tidak suka berbalah dengan mana-mana orang, jadi saya tidak kisah dengan dakwaan sedemikian.

“Tetapi apa perlunya mereka membuat dakwaan itu,” katanya.

Dalam pilihanraya kecil Manek Urai 14 Julai depan, Tuan Aziz dicabar calon PAS, Fauzi Abdullah.

ADS