Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy belasah akhbar web Insider
Diterbitkan:  Jul 2, 2009 1:05 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar benar-benar berang dengan laporan sebuah laman web berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno sehingga mempertikaikan asas kewartawanannya.

Menulis di blognya malam tadi, ahli parlimen Rembau berkata, dengan berita dan rencana tersebut, Malaysian Insider menuju gaya laporan ala tabloid yang condong kepada maklumat separuh benar demi mengejar pembaca di alam siber "tanpa mempedulikan piawaian kewartawanan."

Ketua Pemuda Umno mengulas berita sidang medianya berhubung usaha menganjurkan wacana Pemuda PAS dan Umno dalam "Khairy accuses Hadi Awang of being a Pakatan puppet" dan rencana susulan "Khairy, delusional or in denial?".

Kedua-duanya diterbitkan semalam.

Tambahnya, laman web berita itu gagal menunaikan janjinya untuk menyajikan "laporan berimbang dan serius", termasuk rela "menyumbat perkataan" ke mulut beliau sendiri untuk meraih pembaca.

"Mereka memilih berbuat demikian walaupun bahan berita - atau lain-lain - tidak menunjukkan satu pun kutipan kenyataan saya yang menuduh presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menjadi boneka mana-mana pihak," katanya dalam reaksi balasnya, turut dimuatkan di Malaysian Insider hari ini.

Dengan pandangan serong itu, tambah Khairy, akhbar internet itu menyediakan analisis yang merendah-rendahkan beliau.

Kenyataan panjang dengan label-label berat terhadap laman web itu menimbulkan persoalan lagi apabila sejak ia muncul kira-kira 16 bulan lalu, Malaysian Insider sering diura-urakan mempunyai hubungan dengan kumpulan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bapa mertua Khairy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS