Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry: Tiada masalah dengan 2 ADUN bebas
Diterbitkan:  Jul 8, 2009 6:30 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menegaskan kerajaan negeri BN tidak mempunyai masalah langsung dengan dua ADUN bebas yang menyokong BN seperti dakwaan pihak tertentu.

Katanya, hubungan kerajaan negeri dengan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd

Radzi dan ADUN Changkat, Jering Kapt (B) Osman Jailu adalah baik dan tidak timbul soal mereka kembali menyertai PKR.

"Saya harap rakyat tidak terperangkap dengan permainan pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah suasana politik tidak stabil di Perak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

Beliau mengulas desas-desus kebelakangan ini kononnya Jamaluddin dan Osman akan kembali menyertai PKR kerana tidak berpuas hati dengan BN yang dikatakan gagal menunaikan beberapa janji kepada mereka, termasuk dilantik sebagai exco negeri, lapor Bernama.

Sementara itu, Zambry mengulangi gesaannya bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin wajar melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) jika bekas menteri besar itu tidak lagi mampu memimpinnya dengan baik.

"Kalau kita rasa tidak mampu laksanakan tugas, kita serahlah kepada orang yang boleh buat. Kalau dia rasa dia mampu, dia buatlah," katanya.

Nizar sebelum ini menganggap gesaan Zambry Rabu lalu supaya

beliau melepaskan jawatan sebagai presiden PAFA setelah pemain skuad Seladang tidak dibayar gaji mulai bulan lepas, sebagai bermotif politik.

Nizar yang memegang jawatan presiden PAFA sejak November 2008 akan kekal dengan jawatan berkenaan hingga November 2010 kecuali meletak jawatan secara sukarela.

ADS