Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda Pakatan Rakyat yang bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) mendesak pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), menyokong penuh saranan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said supaya diadakan satu lagi demonstrasi menuntut dasar itu dimansuhkan segera mulai tahun depan.

Seperti Samad, yang juga penasihat GMP, ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin juga mempertikaikan mengapa pemansuhan PPSMI yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, hanya berkuatkuasa pada 2012.

shamsul iskandar probed macc 120309 Sehubungan itu, Shamsul menyarankan agar demonstrasi PPSMI kali ini digabungkan sekali dengan demonstrasi Gerakan Mansuhkan ISA yang akan berlangsung di ibu negara 1 Ogos nanti.

"Ini isu pendidikan. Jangan heret bersama dengan isu politik. Kalau (dasar itu) tidak boleh dilaksanakan, ia perlu diberhentikan untuk kepentingan rakyat.

"Satu dasar yang tidak bermanfaat tidak perlu diteruskan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Pada 7 Mac lalu, GMP mengadakan demonstrasi di ibu negara serta menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon baginda campur tangan memansuhkan dasar tersebut.

Usaha meraih undi

"Kerajaan sudah kaji (baik dan buruk PPSMI), kenapa nak tangguh.

"Kos pelaksanaannya beratus ribu, jadi apa jaminan dilaksanakan (pemansuhan) pada tahun 2012. Kerajaan harus berani melaksanakannya dengan cara yang lebih objektif.

"Bagi orang politik, mereka melihat pelaksanaan PPSMI pada tahun 2012 digunakan untuk meraih undi dalam pilihanraya umum ke-13," katanya.

anti ppsmi rumah pena 100309 suhaizan kaiat Sementara itu, ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat pula berkata demonstrasi boleh diadakan sekiranya kerajaan gagal memberi jawapan yang meyakinkan mengapa pemansuhan PPSMI itu hanya berkuatkuasa sepenuhnya pada 2012.

Sehubungan itu, beliau yang juga penolong setiausaha GMP, menyifatkan pengumuman Muhyiddin hanyalah kenyataan umum dan tidak benar-benar memansuhkan dasar kontroversi itu.

"Ada beberapa perkara yang tidak jelas yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin. Beliau sebut tahun 2012 dimansuh sepenuhnya, (tetapi) tahun berapa dia nak mula mansuh?

Mekanisme pelaksanaan

"Kita minta penjelasan, bila mula mansuhnya, macam mana mekanisme perlaksanaannya dan juga persiapan buku teks," katanya yang juga timbalan ketua Pemuda PAS Johor.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya menjelaskan "asas pemansuhan" dasar kontroversi tersebut yang diumumkan oleh Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran, kelmarin.

"Asas pemansuhan (dasar) ini apa? Dahulu pada zaman (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein, data-data yang diberikan tidak mengganggu (pembelajaran) di sekolah dan memberi kebaikan kepada pelajar.

"Tetapi selepas demonstrasi (7 Mac lalu), semua data-data menunjukkan (dasar tersebut) mengganggu pelajar.

"Sekiranya tidak ada penjelasan, maka ke jalanrayalah kita," katanya.

Beliau mencadangkan agar demonstrasi itu diadakan sebaik-baiknya selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.

ADS