Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib berterima kasih pada MB Kedah
Diterbitkan:  Jul 13, 2009 4:08 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak kerana sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan pusat bagi menjayakan majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu'adzam Shah, Anak Bukit di Alor Star hari ini.

Sultan Kedah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan kompleks berharga RM270 juta itu di tapak seluas 16.1 hektar, yang menempatkan kira-kira 40 jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.

Ia mengandungi enam bangunan utama setinggi antara satu dan lapan tingkat itu yang terletak antara bandaraya Alor Star dan lapangan terbang Sultan Abdul Halim.

Kompleks itu kini merupakan mercu tanda terbaru perkembangan perkhidmatan awam di Kedah, lapor Bernama.

Dalam ucapannya, Najib berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap anggota perkhidmatan awam.

"Kita harus menerapkan nilai dan budaya bekerjasama sebagai satu komuniti tidak mengira perbezaan jabatan atau agensi, pangkat, bangsa dan juga agama dalam memelihara bangunan yang diduduki," katanya.

Katanya pembangunan kompleks itu adalah projek kerajaan persekutuan dan merupakan yang kedua seumpamanya di negara ini selepas pembinaan kompleks persekutuan Sabah pada 2007.

Sempena perasmian itu, Sultan Kedah yang diiringi Sultanah Kedah Sultanah Haminah Hamidun bersama Najib dan Azizan turut melawat bangunan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah antara komponen utama kompleks itu selain bangunan Wisma Persekutuan, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Dewan Serbaguna dan Kompleks Kesejahteraan Keluarga.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS