Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cadang beras ST 15 untuk rakyat miskin saja
Diterbitkan:  Jul 13, 2009 4:20 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang memperkenal sistem kupon bagi memastikan beras jenis super tempatan 15 peratus hancur (ST 15) dapat dinikmati golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, kementarian itu bercadang memperkenalkannya mulai akhir tahun ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras jenis tersebut di pasaran.

Katanya, langkah sama telah digunakan di Indonesia di mana lapan juta rakyat yang benar-benar layak sahaja dapat menikmati bekalan beras yang disubsidi kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, di negara ini semua orang boleh mendapatkan bekalan jenis tersebut, termasuk golongan kaya dan berpendapatan tinggi, lapor Bernama

"Malah pendatang tanpa izin pun guna beras jenis sama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pelaburan Pertanian Untuk Usahawan dan Syarikat Swasta 2009 di Putrajaya hari ini.

Cadangan tersebut, katanya, juga dapat mengurangkan pemberian peruntukan subsidi kerajaan memandangkan pengeluaran beras ST 15 dapat dikurangkan antara 20,000 hingga 30,000 metrik tan sebulan.

Subsidi pada pekilang

Keluaran beras ST15 sebulan sekarang ialah sebanyak 40,000 metrik tan dan jumlah itu cukup untuk menampung keperluan pengguna.

Katanya, jumlah subsidi yang diberikan kepada pekilang pula ialah RM750 untuk setiap satu tan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, Noh berkata, cadangan itu masih lagi di peringkat kajian dan kementerian sedang meneliti prosedur yang sesuai untuk mendapatkan maklumat pengguna yang benar-benar layak memperoleh bekalan beras ST15 itu.

"Senarai nama mereka yang layak untuk mendapatkan bekalan itu kalau di luar bandar boleh didapati menerusi agensi-agensi di bawah kementerian.

"Untuk kawasan bandar pula kementerian akan mendapatkan maklumat menerusi talian Bank Data Kemiskinan Nasional atau e-kasih," katanya.

Selain itu, kementerian akan menggunakan pendekatan lain yang sesuai dan berkesan bagi memastikan senarai nama mereka yang layak adalah tepat serta menyeluruh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS