Kemerosotan mendadak undi PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti itu di Alor Star bermula hujung minggu ini.
Permukiman selama dua hari itu akan disertai semua anggota jawatankuasa pusat PAS dan ahli Majlis Syuranya seperti telah dirancang sebulan lalu.
Ia juga akan membincangkan perancangan parti itu dalam masa setahun, kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad kepada Malaysiakini hari ini.
"Selalunya selepas muktamar, kita akan berbincang (mengenai) perancangan dan strategi kita untuk setahun," katanya.
Isu kerajaan perpaduan bagaimanapun tidak akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut, tambah Idris.
"Kita tidak akan bincang (isu itu), sudah berhenti (bahas)," katanya.
Kemenangan PAS dengan majoriti 65 undi - daripada 1,352 undi yang diraih ketika pilihanraya umum 2008 - bagaimanapun dipercayai akan membangkitkan isu kerajaan perpaduan yang menjadi ketegangan dalam parti itu.
Malaysiakini hari ini memetik beberapa pandangan ahli-ahli akar umbi PAS yang melihat perpecahan dalaman gagal dibendung - termasuk sewaktu berkempen di kerusi DUN tersebut - sehingga merendahkan moral petugas parti.
