Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7.38pm Pemuda Umno berhasrat menyertai demonstrasi PAS bagi mendesak Ronnie Liu dilucutkan daripada exco kerajaan tempatan Selangor susulan dakwaan beliau campur tangan isu mengawal arak.

Exco pergerakan itu Tengku Azman Tengku Zainol Abidin bagaimanapun meminta Dewan Pemuda PAS mendapatkan permit berhimpun sebelum menyertai bantahan itu, lapor laman web New Straits Times .

Bagaimanapun Pemuda PAS menafikan dewan itu pernah berhasrat menganjurkan demonstrasi berhubung isu pengharaman arak di negeri itu atau dakwaan campur tangan pemimpin DAP itu.

"Kita tidak pernah rancang nak buat, saya menafikan kami nak buat demonstrasi itu," kata Timbalan Pemuda PAS Selangor, Ahmad Zaidy Abd Mutalib kepada Malaysiakini hari ini.

"Demonstrasi (terhadap isu ini) sebagai jalan terakhir tetapi bergantung kepada keputusan mesyuarat Dewan Harian PAS Selangor hari ini."

Pemuda PAS negeri dilaporkan mengadakan demonstrasi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam selepas solat Jumaat esok.

Tindakan dewan itu susulan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang mendesak portfolio pemimpin DAP itu ditukarkan kerana campur tangan dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk operasi merampas arak minggu lepas. di Bandar Sunway.

Bagaimanapun Pemuda PAS akan tetap berkempen menentang penggunaan alkohol bermula esok di seluruh negeri itu dengan menaikkan kain-kain rentang dan mengedarkan risalah untuk kesedaran orang ramai.

ADS