Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA dedah laporan JK pecat Chua
Diterbitkan:  Aug 28, 2009 11:03 AM
Dikemaskini: 4:46 AM

Lima anggota Lembaga Disiplin MCA mencapai keputusan sebulat suara dalam mengusulkan supaya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat dari parti ekoran tercetusnya skandal rakaman video hubungan seksnya, menurut lembaga itu dalam laporannya kepada Majlis Presiden MCA.

Menurutnya tindakan itu diambil dalam menimbang kepentingan jangka panjang parti dan ia menyamai dengan tindakan yang diambil dalam satu kes serupa sebelum ini, terhadap bekas pengerusi MCA bahagian Kapar Tan Yoke Chung dan tujuh lagi yang ditangkap kerana berjudi di premis cawangan parti pada 1998.

Lembaga itu juga mengatakan bahawa ia juga sudah menimbangkan sekiranya tindakan terhadap pemimpin parti yang dipilih adalah satu tindakan yang betul dan memenuhi justifikasi.

"Jawapan mudah terhadap soalan ini adalah berbalik kepada prinsip umum yang asas, iaitu semua orang adalah sama di sisi undang-undang, dan dalam kes ini setiap anggota adalah sama di sisi perlembagaan parti.

"Dalam sebuah parti atau masyarakat yang demokratik, prinsip asas ini tidak boleh dipersoalkan," menurut laporan itu yang diperolehi Bernama .

Lembaga itu juga memaklumkan bahawa ia mengenepikan sebarang aspek politik dalaman mahupun kepentingan individu dalam keputusannya, dan apabila kepentingan anggota individu dan kepentingan parti bertembung, kepentingan parti melebihi segalanya, kepentingan parti perlu didahulukan.

Lembaga disiplin itu diketuai oleh bekas setiausaha agung parti Ng Cheng Kiat, dan lain-lain anggotanya ialah Datuk Jimmy Low Boon Hong, Datuk Ng Soon Por, Dr Lai Kuan Fook dan Lau Chih Siang.

Pemecatan Dr Chua diumumkan oleh presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat selepas mesyuarat Majlis Presiden yang berlangsung selama lima jam, dan kini Dr Chua mempunyai masa selama 14 hari untuk membuat rayuan.

Menurut laporan itu pihak lembaga tidak mempunyai sebarang kesulitan dalam mencapai kata sepakat bahawa Dr Chua kini bukan lagi menjadi aset kepada parti.

"Apa yang dilakukan oleh responden apabila gagal menjunjung imej dan reputasi parti bukan sahaja menghantui dan melukakan parti serta kerajaan, tapi akan terus menghantui dan menjejaskan parti serta kerajaan di masa hadapan, terutama di setiap pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum, melainkan pihak parti mengambil tindakan drastik dalam menanganinya," katanya.

Katanya secara mudahnya adalah sesuai untuk merumuskan bahawa bagi rakyat Malaysia secara umum, bagi seorang yang menjadi individu yang cukup dikenali di Malaysia, dia dijangka akan menampilkan kelakuan baik seperti mana seorang yang dikenali ramai, untuk disanjung budi pekertinya.

"Beliau tidak boleh menjadi seorang yang cukup dikenali ramai, dan pada masa yang sama menikmati kelebihan memiliki kehidupan peribadi yang terlindung dari pandangan umum, dan apabila tertangkap, dia tidak boleh mempertahankan diri dengan mengatakan bahawa perbuatan itu adalah kehidupan peribadinya," katanya.

Laporan itu turut mengatakan bahawa Dr Chua mengakui selepas kemunculan video itu beliau memutuskan untuk berundur dari semua jawatan disebabkan oleh masalah moral dan tidak mahu membebankan parti dan kerajaan.

Salah seorang daripada anggota lembaga disiplin itu yang tidak mahu namanya disiarkan berkata sebab utama pemecatan itu ialah Dr Chua akan menjadi liabiliti kepada MCA.

"Kami mencapai kata sepakat bahawa langkah memecatnya ada keputusan paling sesuai untuk dibuat. Parti tidak boleh memiliki seorang anggota, apa lagi seorang pemimpin kanan sepertinya, yang mencemar imej parti," katanya.

"Parti tidak boleh terus memikul beban memiliki seorang pemimpin yang tindakannya akan sentiasa menjadi bahan ejekan di kalangan orang ramai dan juga kalangan ahli politik. Orang ramai akan terus mempersenda apa yang dilakukannya, dan mempersoalkan integriti parti. Jadi kami terpaksa memecatnya," katanya. BERNAMA

ADS