ALSO BY

By Nash Rahman

Perdana Sari: Kami ada bukti dakwaan Azalina lesbian

Kingdom Journal, penerbit tabloid mingguan Perdana Sari yang menyiarkan dakwaan salahlaku sek terhadap ketua Puteri Umno, Azalina Othman, mendakwa pihaknya mempunyai bukti untuk membela dirinya di mahkamah.

Menurut seorang pengarang kanan syarikat penerbitan itu, pihaknya mempunyai bukti dalam bentuk foto dan kenyataan bertulis daripada ahli Puteri Umno sendiri bagi menyokong laporannya mengenai salahlaku Azalina itu.

Beliau memberitahu malaysiakini bahawa ahli Puteri Umno berkenaan telah menyatakan kesediaan mereka untuk memberi keterangan di mahkamah.

Sepertimana yang ditegaskan oleh Khalid Jafri, selaku pemilik dan penerbit majalah berkenaan, kita sudah tahu risiko menyiarkan laporan itu dan juga bersedia untuk memberi buktinya di mahkamah, katanya lagi.

Khalid adalah juga penulis buku 50 Dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM yang diterbitkan sebulan sebelum berlangsungnya mesyuarat agung tahunan Umno pada 1998.

Pada 2 September tahun yang sama, Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno atas dakwaan salahlaku seks sepertimana yang didakwa di dalam buku itu.

musuh bersama

Sejarah lama ini, difahamkan, mendorong Keadilan itu untuk membela Azalina secara terbuka kerana Khalid kini dianggap sebagai musuh bersama Azalina dan Keadilan.

Pengarang berkenaan menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Wanita Keadilan Fuziah Salleh semalam yang membela Azalina, dengan menyifatkan laporan Perdana Sari itu sebagai serangan yang mengaibkan dan bersifat terlalu peribadi.

Menurut Fuziah, Wanita Keadilan akan tetap membela seseorang yang teraniaya walaupun individu tersebut merupakan musuh politik Keadilan.

Laporan yang mendakwa Azalina seorang lesbian disiarkan oleh tabloid Perdana Sari dalam isu kedua, ketiga dan keempatnya.

Tabloid itu yang mula diterbitkan pada 31 Mac lalu, juga mendakwa Azalina telah menyalahgunakan wang tabungan Puteri Umno untuk membeli kereta mewah bernilai RM300,000 untuk kekasihnya itu.

Mengulas lanjut mengenainya, pengarang berkenaan berkata, pihaknya akan menyiarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Wanita Keadilan mengenai perkara itu dalam isu Perdana Sari yang akan datang.

Seperti yang telah kami nyatakan sebelum ini, Perdana Sari akan berhenti untuk sementara daripada menyiarkan laporan mengenai Azalina bagi memberi peluang kepada beliau untuk menjawab terhadapnya itu.

Bagaimanapun, sekiranya tidak ada jawapan daripada Azalina, kami akan meneruskan laporan mengenainya dalam Perdana Sari terbitan ketujuh nanti, katanya.