dikemaskini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan permohonan semakan yang difailkan oleh bapa Altantuya Shaariibuu
berhubung keputusan peguam negara untuk tidak merayu terhadap pembebasan Abdul Razak Baginda daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hinshawati Shariff membuat keputusan itu setelah peguam Karpal Singh, yang mewakili Shaariibuu Setev, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya ingin menarik balik permohonan itu.
Karpal Singh berkata berdasarkan peruntukan Perkara 145(3) Mahkamah Persekutuan, terdapat dua kes perundangan Mahkamah Persekutuan pada 1974 dan 1977 iaitu terpulang kepada timbalan pendakwa raya untuk membuat keputusan sama ada mahu merayu atau tidak.
"Jika kami mahu meneruskan rayuan ini, permohonan perlu mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Persekutuan bagi tujuan semakan kehakiman, dan ia akan melibatkan kos yang tinggi.
"Saya telah menasihatkan anak guam saya agar menarik balik permohonan tersebut dan beliau bersetuju. Jadi saya meminta mahkamah untuk menggugurkan permohonan tersebut tanpa kos," katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili peguam negara, manakala Abdul Razak diwakili peguam Wong Kian Kheong.
Abdul Razak, 48, dituduh bersubahat bersama dua anggota polis Unit Tindakan Khas dalam pembunuhan Altantuya, 28, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin pada 31 Okt tahun lepas tanpa dipanggil membela diri.
Shaariibuu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Dis.
Dua lagi tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37, didapati bersalah pada 9 April dan dihukum gantung sampai mati.
Bercakap kepada pemberita, Karpal Singh berkata walaupun Shaariibuu menarik balik permohonan itu, beliau akan meneruskan prosiding saman menuntut ganti rugi daripada Abdul Razak, Azilah, Sirul Azhar dan kerajaan Malaysia di atas kematian Altantuya.
"Shaariibuu mendesak agar dibayar ganti rugi. Kerajaan harus bertanggungjawab dan membayar ganti rugi selepas kedua-dua anggota polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya. Kami merayu kepada kerajaan agar perkara ini diselesaikan di luar mahkamah, jika tidak ia akan terus berlanjutan.
"Saya berharap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan meminta Peguam Negara untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan membayar ganti rugi ini. Ia adalah yang terbaik kepada negara selepas Altantuya dibunuh dengan kejam di sini. Cerita pembunuhan Altantuya harus berakhir," katanya.
Shaariibuu dan isterinya Altantsetseg Sanjaa, dan dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, 11, dan Altanshagai Munkhtulga, 6 tahun, memfailkan saman itu pada 4 Jun, 2007 menuntut ganti rugi RM100 juta.
Dalam pernyataan mereka, keluarga itu berkata kematian Altantuya menyebabkan fikiran mereka terganggu serta mereka mengalami trauma dan berhak menuntut ganti rugi teruk dan teladan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula 25 Nov tahun ini. BERNAMA
