Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PPIM: Selcat jangan dera mental
Diterbitkan:  Sep 26, 2009 4:22 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor(Selcat) perlu mencontohi cara prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam siasatan dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Ma'amor Osman berkata Selcat dan kerajaan negeri Selangor perlu memastikan tidak lagi berlaku sebarang penganiayaan mental dan fizikal terhadap mana-mana individu yang dipanggil memberi keterangan terhadap jawatankuasa itu.

"Selcat boleh menjadikan prosiding PAC yang ditubuhkan di peringkat Parlimen yang turut dianggotai wakil parti pembangkang sebagai contoh di mana sebelum ini belum kedengaran mana-mana pihak yang dipanggil memberi keterangan di hadapannya dibuli, diperbodohkan atau diaibkan.

"Ini kerana rakyat akan sentiasa menilai kecekapan, keberkesanan dan keprihatinan badan-badan dan ahli panel yang dilantik sama ada mencerminkan sebuah kerajaan yang adil, bertimbangrasa, bertanggungjawab dan amanah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Pegawai Daerah Klang Bakhtiar Hussin baru-baru ini yang menuduh Selcat menimbulkan drama politik dan memalukannya dalam siasatan mengenai salah guna peruntukan kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum tahun lepas.

Dr Ma'amor berkata teguran anggota exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang meminta jawatankuasa tersebut disusun semula juga tidak membawa sebarang kejanggalan kerana Hassan hanya membela penjawat awam yang kebanyakannya orang Melayu beragama Islam.

"Jika penganiayaan sebegitu rupa terus berpanjangan, rakyat akan menilai kembali sokongan atau mandat yang diberikan kepada kerajaan sedia ada kerana rakyat adalah kunci jatuh bangunnya sesebuah kerajaan yang mentadbir itu," katanya.

Sementara itu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia meminta Selcat supaya tidak mengheret penjawat awam ke kancah politik dengan menyoal mereka secara terbuka mengenai wang peruntukan kerajaan negeri.

Presidennya Datuk Wan Mahmood Pawanteh berkata penjawat awam terutamanya pegawai daerah hanya melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri ketika menggunakan wang yang disalurkan.

"Penjawat awam telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dengan memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira parti mana yang memimpin kerajaan negeri.

Katanya, sekiranya penjawat awam perlu disoal ia hendak dilakukan secara tertutup atau menerusi penjelasan secara bertulis. BERNAMA

ADS