Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan bebas untuk memantau kempen pilihanraya kampus tersebut ekoran kontroversi pelaksanaan e-undi di universiti berkenaan.

Pengerusi Pro-Mahasiswa (Pro-M) UUM Tengku Mohd Hasrul Tengku Malek berkata, badan itu akan dianggotai 10 ahli akademik bagi memastikan pilihanraya berjalan lancar dan telus.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuannya dengan Timbalan Naib Canselor UUM, Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid pagi tadi.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan kumpulan Pro-M merancang menemui Dr Ahmad Faiz ekoran bantahan pelaksanaan pengundian e-undi dalam pilihanraya kampus kali ini.

Ia susulan surat bantahan yang dihantar kepada Dr Ahmad Faiz bertarikh 15 September seperti dimuatkan di blog rasmi Pro-M.

Tengku Mohd Hasrul berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau meminta pihak UUM membenar Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) memantau pilihanraya kampus kali ini.

Bagaimanapun, katanya, Dr Ahmad Faiz tidak bersetuju kerana berpandangan "Mafrel sesuai untuk memantau politik di luar dan tidak sesuai di kampus".

Benar wakil calon hadir

Di samping itu, katanya, Dr Ahmad Faiz juga bersetuju menerima permintaan Pro-M supaya wakil-wakil calon yang bertanding dibenarkan hadir menyaksikan proses pengundian dan pengiraan undi.

"Dr Ahmad Faiz juga menyatakan kesediaannya berbincang dengan kumpulan terbabit sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan perjalanan e-undi.

"Dr Ahmad Faiz kata, beliau sentiasa mengalu-alukan sebarang pertemuan. Katanya, beliau suka berunding," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai badan pemantau tersebut, Tengku Mohd Hasrul berkata, Dr Ahmad Faiz juga berjanji akan menjamin integriti pemantau agar tidak dipengaruhi, termasuk oleh pihak pentadbiran universiti.

Pelaksanaan pengundiaan secara elektronik di UUM adalah julung kali dilaksanakan di kampus tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Mohd Hasrul berkata, Pro-M UUM bercadang meletakkan sembilan calon - lapan calon bagi kerusi umum dan satu calon untuk kerusi kolej akademik.

Sebanyak 35 kerusi yang dipertandingkan di UUM dalam pilihanraya kampus kali ini, iaitu 11 kerusi umum dan 24 kerusi kolej akademik.

UUM menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala pengundian dijalankan pada 12 Oktober ini.

ADS