Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam

Umat Islam yang menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah terbenam matahari tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada matahari terbenam.

Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam itu wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengikut kajian ilmu falak, terdapat dua hari iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai sahaja dalam setahun, kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersembahyang.

"Untuk tujuan itulah ILIM diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha menghapuskan persepsi salah masyarakat tentang ilmu falak itu mengikut hukum Islam sebenarnya," katanya kepada Bernama selepas menutup Kursus Falak (Qiblat) di Kota Bharu hari ini.

Kursus anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Mufti Kelantan (JMK), Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIAK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) disertai hampir 100 peserta terdiri kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Paimuzi berkata kebanyakan masjid dan surau dan premis hotel, dan kediaman peribadi umat Islam di negara ini masih tidak menggunakan kaedah yang betul dalam menentukan arah kiblat.

"Jika persepsi yang ini tidak dihapuskan, umat Islam akan terus berada dalam kesilapan hingga ke generasi akan datang.

"Atas dasar inilah kita mahu peserta kursus menjadi perunding atau petunjuk dalam menentukan arah sebenar kiblat, berpandukan ilmu yang diperoleh daripada kursus ini," katanya. BERNAMA
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.