Masjid Cina pertama dibina di Perak

Masjid Baru Muhammadiah, masjid Cina Muslim pertama di Perak dan kedua di negara ini, dijangka mula dibina awal tahun depan apabila jawatankuasa penubuhannya memperolehi dana kewangan yang mencukupi.

Penasihat jawatankuasa pembinaan masjid berkenaan Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata segala perancangan termasuk pelan dan seni reka bentuk masjid berkonsep kebudayaan Cina di Taman Tasek Jaya berkenaan telah siap walaupun ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan.

"Kita juga sedang mendapatkan pengecualian cukai untuk memohon derma dan sumbangan yang lebih banyak daripada mana-mana pihak.

"Selain itu ada juga sekumpulan kecil penduduk setempat yang tidak bersetuju dengan pembinaan masjid berkenaan dengan alasan nanti (apabila masjid siap) jalan sesak," katanya ketika ditemui pemberita di Ipoh hari ini.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, yang juga yang dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), berkenan menyampaikan geran pelancaran bernilai RM2 juta kepada beliau bagi tujuan membina masjid berkenaan.

Beliau berkata dengan geran pelancaran itu dan ditambah hasil sumbangan serta derma pelbagai pihak berjumlah RM1 juta kepada pihaknya, masjid berkenaan akan dapat dibina dengan segera.

Dr Fadzli Cheah berkata MAIAMP dan Raja Dr Nazrin Shah telah meluluskan dan bersetuju terhadap pelan dan senireka bentuk masjid berkenaan.

Beliau berkata sekiranya pembinaan masjid di kawasan itu terus mendapat bantahan kumpulan kecil itu, pihaknya mempunyai alternatif iaitu memindahkan pembinaan masjid itu ke sebuah lagi kawasan yang terletak kira-kira 2 kilometer dari tapak asal.

"Kawasan itu juga merupakan tanah kerajaan negeri dan luasnya lebih satu ekar," kata beliau.

Katanya apabila siap dibina, masjid baru itu boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata pada masa sekarang surau yang telah dinaiktaraf menjadi masjid di kawasan perumahan itu hanya mampu menampung 600 jemaah sahaja sedangkan bilangan jemaah telah bertambah terutama untuk solat Jumaat.

Katanya, cadangan pembinaan Masjid Baru Muhammadiah yang berkonsepkan seni bina kebudayaan Cina adalah gabungan antara dua pihak iaitu anggota jawatankuasa masjid Taman Tasek Jaya dan Persatuan Cina Muslim Ipoh.

Beliau berkata peruntukan yang diperlukan dalam pembinaan Masjid Baru Muhammadiah ini dianggarkan RM10 juta termasuk kos untuk pusat komuniti setempat yang dilengkapi kelas, sekolah agama, ruang perniagaan dan pusat maklumat.

Pada 2 Jun lepas, Raja Dr Nazrin mengumumkan geran pelancaran RM2 juta sumbangan MAIAMP bagi membina sebuah masjid baru di kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya di Ipoh dengan reka bentuk ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.

Masjid itu akan menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian.

Dr Fadzli Cheah berkata masjid Cina Muslim pertama negara dibina di Rantau Panjang, Kelantan. BERNAMA
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.