Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.20pm Umat Islam mestilah menghindarkan sikap fanatik terhadap mazhab dan pemimpin agama supaya imej negatif mereka di mata dunia dapat dikikis, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sikap tersebut mengakibatkan persengketaan sesama Islam, termasuk melibatkan pembunuhan, seperti yang berlaku antara pengikut Sunnah wal Jamaah dan Syiah di Timur Tengah.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menempelak sikap penyokong PAS yang percaya kepada Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendakwa sesiapa yang mengundi parti itu akan memasuki syurga.

"Nik Aziz kata, pangkah PAS masuk syurga. Patut ada orang bangun, kata (perkara itu) tidak betul," katanya dalam sesi dialog intelektual di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

"Tetapi (oleh kerana) ketua dia kata, mesti ikut. Ini masalahnya, setia pada pemimpin sampai kita tidak soal dia, betul atau tidak.

"Sebab itu kita lihat, ada (ajaran) Ayah Pin, Ashaari Muhammad dan Rasul Melayu. Bila ada seorang kata (sesuatu), jangan tanya, terima saja. Jadi banyak yang jadi fanatik."

Dalam pengamalan undang-undang syariah pula, katanya, umat Islam cenderung melihat persoalan "potong tangan, potong kepala dan sebat" berbanding melihat keadilan sesuatu hukuman itu.

"Al-Quran kata, hukumlah dengan adil. Kita tidak kira adil atau tidak adil. Yang kita kira, hendak potong tangan dia, potong kepala dia, nak sebat dia.

"Prosedurnya pula, mesti ada empat orang saksi. Mana ada empat orang saksi dalam kes rogol. Apa dia buat dok tengok tapi tidak tolong?" katanya berseloroh.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata, terdapat perlbagai cara bagi membuktikan sesuatu kesalahan syariah, seperti kes Nabi Yusuf dituduh mencabul kehormatan Zulaikha – yang dibuktikan melalui keadaan baju rasul itu yang terkoyak.

Dalam ucapannya yang berjudul 'Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sepadan', beliau juga berkata, orang Melayu perlu memastikan sesebuah kerajaan yang ditubuhkan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dan juga dewan DUN bagi terus melindungi hak-hak mereka.

'Ramai orang Melayu tidak memihak kepada Melayu lagi. Bila berkuasa, mereka tidak bersimpati.

"Maka kedudukan institusi macam Universiti Teknologi Mara (UiTM) terancam," katanya di hadapan kira-kira 150 alumni universiti tersebut.

Dr Mahathir memberikan amaran supaya rakyat Malaysia berhati-hati dengan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara Barat yang disifatkannya "mempunyai udang di sebalik batu".

Tambahnya, tindakan Singapura yang menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat tidak boleh diteladani kerana republik itu yang sudah lama menjadi pelabuhan bebas tidak akan mengalami sebarang kerugian.

ADS