Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasil kelapa sawit susut 25 peratus
Diterbitkan:  Nov 2, 2009 5:43 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Pendapatan eksport minyak sawit Malaysia dijangka susut sebanyak 25 peratus tahun ini berbanding RM65.22 bilion pada 2008, kata menteri perusahaan perladangan dan komoditi hari ini.

Industri minyak sawit, yang menyumbang lebih daripada satu pertiga Keluaran Dalam Negara Kasar tahun lepas, kini mengalami permintaan rendah susulan situasi ekonomi semasa, kata Tan Sri Bernard Dompok.

"Pada masa ini keluaran tidak berkurangan, malah terus meningkat. Dasar kita ialah cuba memperbanyakankan aktiviti hiliran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rundingan Meja Bulat Mengenai Kemampanan Minyak Sawit (RSPO) di Kuala Lumpur.

Dompok berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk mendidik pekebun kecil supaya mengguna pakai amalan penanaman yang lestari selain memperoleh pensijilan RSPO.

Beliau berkata sejumlah RM100 juta lagi diperuntukkan kepada pekebun kecil antara 2009 dan 2010 untuk membantu mereka menanam semula bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

"Kami mahu mereka menghasilkan 500,000 tan minyak sawit mentah menerusi program yang melibatkan 200,000 hektar," kata Dompok.

"Ia adalah selari dengan sasaran jangka panjang kami untuk menghasilkan purata kebangsaan sebanyak 35 tan buah tandan segar (FFB) sehektar setahun menjelang 2020 berbanding 20 tan FFB semasa," katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, Dompok berkata Malaysia akan terus memastikan program penanaman lestari bersepadu dalam industri bagi memastikan manfaat jangka panjang kepada industri dan negara.

Beliau berkata kementerian berkenaan sudah memulakan kajian mengenai penilaian kitaran hayat minyak sawit, dan hasilnya kelak boleh mengenal pasti pelepasan karbon dalam kitaran hayat minyak sawit dan seterusnya melaksanakan usaha bagi menangani kesan berkenaan.

Pembangunan industri kelapa sawit di Malaysia dilakukan mengikut asas kelestarian.

Dompok berkata penanaman kelapa sawit kini membabitkan kawasan penanaman hampir 4.5 juta hektar dan menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada satu juta orang.

Beliau berkata minyak sawit Malaysia dieksport ke lebih daripada 150 buah negara di seluruh dunia dan mendapat penerimaan seluruh dunia kerana boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan dalam makanan dan bukan makanan selain harganya yang kompetitif.

"Pada masa ini, 157,000 hektar kawasan bertanam menghasilkan lebih daripada satu juta tan minyak sawit yang disahkan mematuhi RSPO," katanya.

Dompok juga berkata semua pemegang kepentingan dalam industri perlu melakukan pendekatan seimbang bagi memastikan pengeluaran dan bekalan minyak sawit kepada komuniti global adalah lestari.

Pensijilan RSPO diusahakan oleh komuniti perniagaan sebagai bukti tambahan kepada kelestarian, katanya.

"Bagaimanapun, dengan menambah kriteria tanpa memberikan tempoh masa yang sesuai untuk menyelaraskan prinsip dan kriteria semasa, mungkin merupakan beban tambahan," katanya. BERNAMA

ADS