Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat percaya bahawa beberapa pemimpin parti yang mendesak supaya diadakan pemilihan baru parti, juga akan menyokong Pelan Perpaduan Besar (GUP), apabila ia mula dilaksanakan.
Katanya, beliau tidak nampak sebarang alasan mengapa pemimpin tersebut harus menentang usaha membawa perpaduan kepada parti atau bimbang dengan GUP.
"Apabila akar umbi respons yang baik, maka saya pasti pemimpin ini akan tahu apa yang terbaik untuk MCA.
"Mereka pemimpin yang berpengalaman dan sepatutnya sedar bahawa buat masa ini, perpaduan MCA mengatasi segala-galanya," katanya kepada Bernama.
"Saya tidak boleh ambil jawatan parti mereka kerana mereka dipilih dengan rasminya oleh perwakilan tahun lepas. Saya tidak boleh menyingkir mereka daripada kerajaan kerana itu adalah hak mutlak perdana menteri. Mungkin sesetengah mereka emosional atau diapi-apikan oleh sesetengah pihak supaya menolak GUP," kata beliau.
Ong berkata GUP bukan satu formula matematik dan juga bukan berdasarkan kuota, tetapi ia sebaliknya berlandaskan pada hasrat keikhlasan untuk mempunyai kepimpinan yang inklusif demi perpaduan parti.
Pelan damai itu diilhamkannya dan timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum ia dibawa ke perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut menyokong usaha itu, katanya.
Kempen penerangan
Kedua-dua Ong dan Dr Chua menguasai bersama lebih 80 peratus perwakilan MCA - jika diambil kira keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti itu pada 10 Oktober lepas.
MCA kini di peringkat pelaksanaan GUP dan katanya, pemimpin utama MCA akan menjelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan mengenai pelan damai tersebut.
Berdasarkan maklum balas, kata Ong, ahli akar umbi menyokongnya kerana selepas kemelut kepimpinan yang berlarutan, mereka mahu parti itu bergerak ke hadapan dan menggunakan sumber-sumbernya untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.
Beliau juga menjelaskan bahawa adalah perkara biasa jika GUP dipandang sinis, terutamanya selepas parti melalui kemelut kepimpinan yang getir.
"Tetapi semua ini merangsang saya dan rakan-rakan lain untuk bekerja lebih kuat lagi untuk membuktikan bahawa mereka silap. Setakat ini respons terhadap pelan ini sangat memuaskan. Daripada 42 anggota Jawatankuasa Pusat (CC), 27 komited untuk menandatangani surat sokongan terhadap pelan tersebut.
"Datuk Seri Dr Ng Yen Yen (naib presiden) juga akan menandatanganinya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kini berada di luar negara atas urusan rasmi. Beberapa pemimpin yang belum menandatanganinya juga menyatakan kesediaan mereka untuk berbuat demikian. GUP mendapat sokongan dua pertiga dalam CC," katanya.
Menangi semula sokongan
Ong juga berkata MCA tidak ada pilihan tetapi perlu melangkah ke hadapan kerana kesuntukan masa untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.
"Jika anda berada dalam rumah kaca, maka anda tidak sepatutnya membaling batu terhadap satu sama lain. Semua orang boleh melihat apa yang anda buat didalamnya dan akhirnya rumah itu akan rosak.
"MCA adalah rumah kaca tersebut dan kita tidak mampu untuk mempunyai sebuah parti yang telah rosak jika kita benar-benar serius untuk memulihkan keadaan kita selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu," katanya.
Beliau percaya "GUP akan dapat memperkukuhkan semula kedudukan parti itu bagi memenangi semula sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang".
Selepas ini, ia akan mempertingkatkan usaha untuk mendapatkan semula sokongan pengundi dengan menumpukan kepada tiga teras utama parti - menangani masalah ekonomi, memainkan peranan lebih aktif dalam politik arus perdana dan memperkukuhkan perpaduan kaum.
"Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengingatkan parti-parti komponen supaya bersungguh-sungguh berusaha memenangi semula sokongan rakyat. Saya beri jaminan peribadi bahawa saya tidak akan dan menghampakan harapan perdana menteri," tegasnya.
