Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata pertemuannya dengan Badrul Hisham Abdullah yang sepatutnya petang ini, telah ditangguhkan hingga esok kerana ADUN Pelabuhan Klang itu perlu menguruskan urusan keluarga hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Mohd Khir berkata pada mulanya, Badrul bersetuju bertemu di diaman Badrul di Pelabuhan Klang pada jam 5.30 petang ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan bahawa Badrul perlu menguruskan urusan keluarga di Kuala Selangor petang ini.

Berikutan itu, katanya, pertemuan beliau dengan Badrul itu ditunda hingga esok.

Sebelum ini, Dr Mohd Khir berkata, beliau mahu menemui Badrul untuk menyatakan sokongan kepada ADUN Pelabuhan Kelang itu, yang kini menjadi wakil rakyat Bebas yang 'mesra BN'.

Badrul Hisham mengisytiharkan keluar dari PKR hujung bulan lalu.

Dalam sidang DUN Selangor yang berlangsung sekarang, Badrul Hisham dipindahkan duduk di belakang ADUN BN.

NONE Ditanya sebelum ini, sama ada pertemuan itu bertujuan untuk ‘memujuk’ Badrul Hisham masuk Umno, Dr Mohd Khir berkata: “Itu terserahlah kepada pengurusan Umno Selangor”.

“Sebagai seorang rakan (ADUN), saya menemuinya untuk memberi sokongan,” tambahnya.

Badrul mengisytiharkan keluar dari PKR pada 29 Oktober lalu dan menjadikan ADUN bebas yang ‘mesra BN’.

Beliau membuat pengumuman itu beberapa jam selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada PKR agar mendesak Badrul melepaskan jawatan wakil rakyat

Badrul sejak sekian lama menimbulkan masalah dalam parti itu apabila didakwa tidak menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di situ.

Di samping itu, spekulasi juga tersebar sejak beberapa bulan lalu yang mendakwa kemungkinan beliau melompat parti untuk menyertai Umno.

Spekulasi itu diperkuat lagi dengan hadirannya di rumah terbuka Hari Raya Ketua Umno Klang Datuk Mazlynoor Abd Latif awal bulan lalu.

Badrul menang kerusi DUN Pelabuhan Klang dalam pilihan raya umum dengan majoriti 4,407 undi, ekoran rasa tidak puashati terhadap bekas ADUN kontroversi Umno, Datuk Zakaria Md Deros.

Badrul merupakan ADUN pembangkang kelima yang keluar parti, selepas tiga ADUN di Perak (dua PKR, satu DAP) dan seorang lagi ADUN PKR di kedah dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

ADS