Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isu-isu remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak untuk menggugat hubungan di antara kedua-dua negara tetapi akan terus berusaha mengukuhkan hubungan erat dua hala yang sedia terjalin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap pada satu sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono hari ini, Najib berkata sementara ada pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan masalah dalam hubungan di antara kedua-dua negara, hakikat adalah sebaliknya kerana pemimpin Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang akrab.
"Meskipun kita mempunyai beberapa isu yang tertangguh, ia tidak seharusnya menjadi keutamaan yang melebihi perkara-perkara baik yang dilakukan kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan hubungan. Kita mempunyai hubungan tradisional yang akrab seperti kunjungan antara pemimpin Indonesia ke Malaysia dan sebaliknya.
"Kita sedang melihat kepada interaksi lebih erat antara institusi seperti media dengan media, Parlimen dan Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan dengan badan bukan kerajaan," katanya.
Najib berkata kedua-dua mereka yang mengadakan pertemuan empat mata hari ini juga mahu program belia antara kedua-dua negara ditingkatkan manakala kerjasama ekonomi terus diperluaskan.
Najib berkata meskipun dagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat, kecuali pada tahun ini akibat krisis ekonomi dunia, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan urusniaga dagangan di antara kedua-dua negara.
Beliau berkata Malaysia berharap lebih banyak ahli perniagaan Indonesia melabur di negara ini kerana ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
"Kami juga berbincang tentang jaminan bekalan makanan dan bagaimana kita dapat membuat pelaburan bersama dalam bidang ini. Indonesia mempunyai tanah dan sumber manusia. Kami turut berbincang tentang jaminan bekalan tenaga di mana lebihan tenaga di Malaysia boleh dipindahkan ke Indonesia, terutamanya ke kawasan luar bandar," kata perdana menteri.
Najib berkata kedua-dua mereka turut bersetuju akan Malaysia dan Indonesia, yang masing-masing menjadi pengeluar minyak sawit terbesar dan kedua terbesar dunia, mengambil tindakan bersama bagi menangkis dakwaan kempen antiminyak sawit
di barat.
Bidang lain yang dikenal pasti di mana Malaysia dan Indonesia boleh bekerjasama, kata Najib ialah sektor pelancongan dan industri makanan halal, "yang kedua-dua negara mempunyai kepentingan". - Bernama
