Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri sehingga lewat petang ini belum dimaklumkan akan didakwa di mahkamah syariah esok berhubung dakwaan mengajar agama tanpa tauliah awal bulan ini.
"Tidak ada (makluman)," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), sebagai pendakwa, bagaimanapun boleh memaklumkan kepada bekas mufti Perlis itu berhubung kesnya di saat-saat akhir.
Semalam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjangkakan Dr Mohd Asri akan dapat didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur esok berhubung ceramahnya di sebuah banglo di Hulu Kelang, 1 November lalu.
Seorang pegawai Jais dilaporkan berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".
Pegawai itu juga berkata Jais ingin membawa kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam selepas dituduh di Mahkamah Syariah Gombak Timur kerana ia dianggap kes berprofil tinggi.
Dihubungi pagi tadi, Dr Mohd Asri berkata, beliau hanya mendengar perkembangan pendakwaan terhadapnya itu melalui media semata-mata.
"Kenyataan bahawa saya akan didakwa esok (Jumaat) itu berdasarkan kenyataan di media. Saya rasakan ini sebuah kenyataan yang ajaib.
"Siapa mereka untuk memberitahu bila saya akan didakwa? Adakah mereka pendakwaraya? Saya pun belum terima apa-apa makluman pun," katanya.