Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Azalina akan disahkan sebagai ketua Puteri Umno jika tiada calon lain: Khalil
Published:  Jun 15, 2002 9:20 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Azalina Othman Said akan disahkan sebagai ketua Puteri Umno, yang berstatuskan naib presiden Umno, sekiranya tiada pencalonan lain bagi jawatan berkenaan dalam pemilihan pergerakan itu nanti, kata Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob hari ini.

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, selepas ianya diwujudkan secara formal, kedudukan Azalina, yang kini sebagai ketua penaja Puteri Umno, bergantung kepada ahli-ahli pergerakan itu.

"Selepas pengesahan, Puteri Umno akan ada proses pemilihan seperti yang selalu diamalkan oleh Umno. Kalau tak ada pencalonan lain, maka dia akan disahkan sebagai ketua yang berstatus naib presiden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Keluarga dan Majlis Silaturrahim Kementerian Penerangan Tahun 2002 di Kuala Lumpur.

Puteri Umno sebagai kumpulan penaja telah dilancarkan secara rasmi pada 3 Ogos 2000 dan akan menjadi sayap ketiga Umno selepas Pergerakan Pemuda Umno dan Pergerakan Wanita Umno.

Sementara itu, Khalil berkata Majlis Tertinggi akan mematuhi apa jua keputusan yang bakal diambil oleh pihak perwakilan berkenaan penentuan tarikh pemilihan parti Umno.

"Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata semalam, semua terpulang kepada pendapat perwakilan untuk menyuarakan atau membayangkan. Kalau mereka tak mahu, Majlis Tertinggi akan patuhlah," katanya.

Bagaimanapun, katanya keputusan mengenainya perlu dibuat sama ada oleh perhimpunan agung atau majlis tertinggi.

Undi tidak percaya

Sementara itu, Bernama turut memetik Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai berkata, Umno akan menyiasat tindakan Umno Bahagian Senai, Johor meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad pada satu mesyuarat khas jawatankuasa bahagian itu, Rabu lalu.

"Kita dalam Umno tidak galakkan undi tidak percaya sebagai alasan untuk melahirkan rasa tidak puas hati...gunakanlah saluran yang lebih sesuai seperti kemukakan laporan ke Badan Perhubungan Umno Negeri," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Umno Melaka hari ini, Menteri Pertahanan itu berkata siasatan akan dijalankan bagi mengetahui dengan lebih jelas tindakan Umno Senai itu.

"Umno ada membuat ketetapan, jika ada masalah buat laporan kepada Umno negeri dan Umno negeri pula akan membawa masalah itu ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) untuk dibincangkan," katanya .

Ketua Umno bahagian itu, Adam Abdul Hamid dipetik sebagai berkata Musa memberikan alasan yang tidak kukuh untuk membuka kuota 10 peratus kepada bukan Bumiputera memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan program matrikulasi.

Oleh itu, beliau melihat perkara itu sebagai satu tindakan yang tidak menjaga kepentingan orang Melayu untuk tempoh jangka panjang.

ADS