Yadim diletak terus di bawah menteri?
Jimadie Shah Othman
Nov 20, 09
5:31pm
Selepas kontroversi panjang berhubung perlantikan yang dipertua (YDP) baru Yayasan Dakwan Islamiah Malaysia (Yadim), badan itu kini dipercayai diletakkan langsung di bawah kelolaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom.

Menurut sumber, Jamil Khir telahpun memulakan tugasnya mengambil alih pengendalian Yadim daripada yang dipertuanya sebelum ini, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang tamat kontraknya pada 31 Oktober lalu.

Dalam pertemuan Jamil Khir dan kakitangan Yadim petang semalam, difahamkan menteri berkenaan menasihatkan semua pihak supaya tidak bimbang dan menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.

Sumber berkata, Jamil Khir sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama akan memantau dan menguruskan sendiri yayasan itu.

Difahamkan, Jamil Khir turut menghadiri sesi taklimat bersama ahli lembaga pemegang amanah Yadim dan telah melangsaikan beberapa tugasan tertangguh yang memerlukan kelulusan YDP.

"Dia sudah tandatangan semua dokumen-dokumen berkaitan, boucer-boucer gaji, semua tidak ada masalah," kata sumber itu.

Sebelum ini, terdapat kebimbangan di kalangan kakitangannya, antaranya berhubung pembayaran gaji menjelang sambutan Aidil Adha pada 27 November ini ekoran kekosongan kerusi nombor satu yayasan itu.

Dalam masa yang sama, kerusi nombor duanya juga masih belum diisi setelah penyandangnya Datuk Abd Manaf Ahmad juga telah tamat kontraknya.

Usaha Malaysiakini mendapatkan pengesahan Jamil Khir setakat ini belum berhasil.

Manakala Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yadim, Dr Abdul Ghani Mohamad pula ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

Difahamkan pegawai-pegawai Yadim dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkembangan terbarunya buat masa ini.

Sebelum ini, meledaknya kontroversi berhubung pengganti Mohd Nakhaie apabila bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin disebut-sebut bakal menerajuinya.

Perkara itu bagaimanapun dibantah keras Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGMS) dan 18 pertubuhan Islam dengan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kes tersebut dijangka berpanjangan di mahkamah apabila Dr Mohd Asri berhasrat menyaman PGSM kerana didakwa menfitnahnya.
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner