kemaskini 2.27pm Pemeriksaan perubatan mendapati Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa mengalami gejala kejang otot di sebelah kanan badannya, dari bahagian bahunya ke pinggang.
Ketika dikunjungi
Malaysiakini
di wad rawatannya di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, beliau yang masih bergantung kepada pil penahan sakit hanya berkata:
"Tiada apa-apa yang serius."
Tambahnya, walaupun mengalami kesesakan nafas semalam – antara tanda-tanda sakit jantung – pemeriksaan pakar mendapati beliau bebas daripada penyakit yang mengancam nyawa itu.
Nasharuddin, ahli parlimen Bachok, berkata doktor membenarkannya keluar dari institut perubatan itu esok pagi.
Katanya, lapan tahun lalu, beliau pernah mengalami kesakitan yang sama sebanyak dua kali.
Beliau berkata, selain ramai pemimpin PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut hadir menziarahinya malam tadi.
Ketika Malaysiakini melangkah masuk ke bilik Nasharuddin kira-kira jam 10.15 pagi tadi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim turut berada di situ.
Menceritakan detik-detik cemas pagi semalam, pada waktu itu beliau berada di rumahnya. Selepas mandi, beliau berasa sesak nafas dan kejang otot sebelum bersiap-siap ke Dewan Rakyat.
"Selepas itu saya duduk selama setengah jam, dan apabila kurang sedikit (rasa sakit) saya pergi ke Parlimen. Kemudian di Parlimen, saya rasa sakit kembali.
"Lalu, saya pergi ke klinik di Parlimen, dan selepas memeriksa, mereka terus merujuk kepada IJN," katanya yang temui selama setengah jam.
Tambahnya, beliau menerima banyak SMS daripada rakan-rakan di dalam dan luar negeri yang bertanyakan tentang kesihatannya.
Ada SMS yang sempat dibalas dan ada yang tidak sempat, katanya lagi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan punca rasa sesak nafas kerana kurang rehat dan kurang tidur.
"Ahli politik mana yang tidak letih?" katanya, sambil ketawa.
Dengan nada ceria, beliau menceritakan terdapat beberapa ahli PAS yang menziarahinya malam tadi membelikan masakan ayam kampung dan makan bersama-samanya di situ.
Nasharuddin mengambil keputusan berehat di rumah minggu ini sebelum menyambung tugasnya di Dewan Rakyat minggu depan.
Beliau adalah ahli parlimen PAS yang kedua dimasukkan ke IJN selepas ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dalam tempoh beberapa bulan mutakhir.
Satu sumber IJN menjelaskan, ahli parlimen itu tidak mengadapi "apa-apa masalah" dan "tidak ada yang membimbangkan".
