Isu serangan penulis blog terhadap menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman, tidak dibangkitkan dalam mesyuarat khas pimpinan tertinggi PAS semalam yang menasihatkannya meletak jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
"Tidak ada langsung perkara itu. Kita hanya bincangkan soal pelantikan beliau sebagai CEO," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Selain beliau dan Nik Abdul Aziz, katanya, tiga lagi pemimpin kanan PAS yang menghadiri mesyuarat khas itu ialah timbalan mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bendahari agungnya, Dr Hatta Ramli.
Salahuddin diminta mengulas sama ada keputusan PAS menasihatkan Abdul Ariffahmi meletak jawatan ada kaitan dengan tuduhan bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang dipecat Abdul Ariffahmi pada 11 November lalu.
Syed Azidi antaranya mendakwa Abdul Ariffahmi memanipulasi minit mesyuarat PMBK dan dakwaan salah urus kewangan sebuah anak syarikat perbadanan itu, Kifalah Sdn Bhd.
Menulis dalam blognya, Kickdafella, Syed Azidi turut mendakwa, Abdul Ariffahmi menyebabkan peningkatan kos PMBK melebihi 500 peratus apabila menaikkan gaji dan memberikan bonus kepada "pembodeknya" sesuka hati.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC).
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Salahuddin berkata, Abdul Ariffahmi dinasihatkan meletakkan demi menyelamatkan PAS, kerajaan negeri dan untuk "menutup segala ruang fitnah" terhadap Nik Aziz.
Ditanya sama ada Abdul Ariffahmi diarahkah melepaskan jawatan itu, Salahuddin mengulanginya bahawa beliau "dinasihatkan" supaya berhenti.
"Keputusan parti meminta jasa baik menteri besar menasihati Abdul Ariffahmi supaya melepaskan jawatannya," jelas Salahuddin.
Abdul Ariffahmi gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasannya.
Bagaimanapun, melalui kiriman SMS, beliau yang juga exco Pemuda PAS Kelantan itu menjawab: "(Saya) dinasihatkan untuk letak jawatan."
Salahuddin berkata, perkara berbangkit berhubung pengurusan PMBK selepas ini - termasuk tarikh akhir peletakan jawatan Abdul Ariffahmi, penyerahan tugas dan halatuju masa depan PBMBK - diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksaaan menteri besar.
