Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Libat semua peringkat dalam pemilihan baru MCA
Diterbitkan:  Nov 25, 2009 12:16 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Anggota Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker, hari ini mencadangkan agar formula pengundian semula yang sedang

dipertimbangkan ketiga-tiga pihak yang bertelagah dalam kemelut parti itu hendaklah merangkumi semua peringkat parti.

"Pengundian semula itu hendaklah bermula dari peringkat cawangan, bahagian, ahli jawatankuasa pusat dan termasuklah kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita," kata Ti dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Presiden berkata mengikut perlembagaan parti itu, tempoh jawatan semua pemegang jawatan kini akan berakhir menjelang April 2011 tetapi dengan pemilihan semula ahli jawatankuasa pusat MCA akan melanjutkan tempoh sehingga 2012 atau 2013.

Pengundian semula di peringkat ahli jawatankuasa pusat dalam masa terdekat yang dicadangkan akan mengakibatkan ketidakselarian tempoh jawatan di kalangan pemegang jawatan di peringkat cawangan, bahagian, ahli jawatankasa pusat serta

juga sayap Pemuda dan Wanita, jelas Ti.

"Untuk mengatasi kecelaruan tempoh perjawatan dan juga bagi menyelesaikan konflik politik di setiap peringkat parti, formula undian semula di peringkat pusat seharusnya diperluaskan sehingga menjadi pemilihan semula di semua peringkat parti termasuk sayap Pemuda dan Wanita," kata Ti, yang juga ketua biro pertubuhan bukan kerajaan MCA.

Ti menegaskan bahawa atas kepentingan parti dan demi kejujuran mengembalikan kuasa kepada satu juta ahli, kumpulan di bawah kepimpinan Datuk Seri Liow Tiong Lai hendaklah menyetujui cadangan pemilihan semula di semua peringkat dan bukan memilih-milih sasaran.

Sambil mempertikaikan kejujuran Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang ghairah memperjuang isu undian semula dalam badan induk MCA tetapi menolak cadangan undian semula bagi ahli jawatankuasa pusat, sayap Pemuda dan Wanita, Ti berkata tindakan mereka itu jelas tidak adil kepada presiden dan semua ahli jawatankuasa pusat MCA.

"Ramai ahli parti yang bertanya di mana letaknya prinsip dan kejujuran Wee dan Chew sebagai pemimpin sekiranya mereka sendiri tidak sanggup dan tidak berani menghadapi undian semula di kedua-dua sayap Pemuda dan Wanita," katanya lagi.

Ti berkata, sekiranya pemilihan tidak diadakan serentak di peringkat akar umbi dan sayap Pemuda serta Wanita, maka akan berlaku kejanggalan dengan tempoh tamat presiden dan ahli jawatankuasa pusat akan berbeza dengan tempoh sayap ahli jawatankuasa Pemuda, Wanita, bahagian dan cawangan. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS