• Jawatankuasa khas pantau k'jaan PAS
  • Jimadie Shah Othman
  • 1259225365
  • Keputusan pemimpin kanan PAS yang menyarankan mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya 'menasihati' menantunya agar meletakkan jawatan, dibuat ekoran pemantauan satu jawatankuasa khas parti itu.

    "Kita bukan sahaja memerhatikan, tetapi turut menilainya dari masa ke semasa supaya kerajaan negeri yang dipimpin kita sentiasa selari dengan aspirasi parti.

    "Kita ada satu jawatankuasa pemantau di peringkat pusat," kata Ketua Dewan Pemuda PASnya, Nasrudin Hassan.

    Beliau diminta mengulas peranan jawatankuasa pusat PAS bagi mengawas pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin parti Islam itu di Kelantan dan Kedah.

    Kelmarin, Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan diminta menasihatkan Abdul Ariffahmi Abd Rahman meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kelmarin.

    Dihubungi Malaysiakini hari ini, Nasrudin berkata, jawatankuas tersebut berada di bawah seliaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

    Diminta menjelaskan peranan jawatankuasa tersebut, Nasrudin hanya berkata: "Maknanya, kita teliti perkembangan dan isu-isu yang berbangkit di media."

    Beliau turut menolak tanggapan bahawa saranan beberapa pemimpin kanan PAS sebelum ini merupakan satu bentuk campur tangan terhadap pentadbiran kerajaan Kelantan.

    "Istilahnya bukan campur tangan, tetapi menasihat, (bergantung) atas budi bicara. Terpulanglah kepadanya (Nik Aziz) untuk terima atau tidak.

    "Ia bukannya campur tangan atau cuba menguasai, tetapi lebih kepada pandangan," katanya.