• Jeti Pulau Sebatik masih tunggu peruntukan
  • 1260340329
  • Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Sabah bagi mendapatkan peruntukan untuk membina sebuah jeti memunggah hasil pertanian yang akan memberi kemudahan kepada ratusan petani dan pekebun kecil dari Pulau Sebatik.

    Presiden MPT Ismail Mayakob berkata sebaik saja peruntukan itu diluluskan, majlis itu akan segera membina jeti berkenaan.

    "Kami bukannya tidak ambil peduli masalah petani dari Pulau Sebatik berkenaan, namun pembinaan jeti itu memerlukan kos yang agak tinggi," katanya kepada pemberita di Tawau hari ini.

    Ismail berkata demikian sebagai mengulas keluhan ratusan petani dan pekebun kecil dari Pulau Sebatik yang kecewa kerana tidak mempunyai kemudahan asas seperti jeti untuk memunggah hasil pertanian mereka yang dibawa dari pulau itu.

    Masalah berkenaan telah berlarutan lebih setahun lalu apabila mereka diminta memunggah barangan pertanian seperti kelapa sawit, koko, pisang dan tanaman kontan lain di Log Pond, tujuh kilometer dari Batu-Batu di kawasan bandar, tempat pendaratan yang mereka gunakan sejak lebih 30 tahun lalu. BERNAMA