Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Cadangan melantik Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai "pemimpin rohani" Pakatan Rakyat belum berbangkit dan tidak perlu dibincangkan buat masa ini, kata pemimpin-pemimpin Pemuda PKR dan DAP.

NONE Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin (foto, kanan) berkata, itu tersebut – asalnya dikemukakan Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik parti itu – "tidak sesuai dibincangkan buat masa ini" kerana Pakatan belum mempunyai struktur lagi.

"Itu pandangan peribadi Zaid. Ia boleh dibincangkan lagi. Tetapi buat masa ini, Pakatan belum lagi mempunyai struktur," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sementara ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook pula berkata Pakatan "belum sampai ke peringkat itu" kerana ia belum didaftarkan secara rasmi.

"Tidak perlu bincang soal struktur dahulu. Yang penting, bagaimana memberikan komitmen bersama (terhadap Pakatan)," katanya.

Kedua-duanya diminta mengulas kesudian Nik Aziz, menteri besar Kelantan, baru-baru ini untuk memikul tugas tersebut, jika dilantik, apabila gabungan PKR, DAP dan PAS berjaya didaftarkan nanti.

Pada 17 November lalu, Zaid mengesyorkannya dengan alasan Pakatan memerlukan seorang tokoh seperti Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan tinggi tetapi bergerak atas idealisme perjuangan.

NONE Ketika dihubungi, Shamsul Iskandar dan Anthony (foto, kiri) mempunyai sudut pandangan sedikit berbeza apabila mengulas sama cadangan Zaid bakal menimbulkan masalah kepada DAP – yang sering berbeza pandangan dengan PAS berhubung isu-isu agama.

"Saya rasa tidak ada masalah. Selama ini pun tidak timbul soal peranan Tuan Guru Nik Aziz. Beliau dilihat lebih sentimental bersama Pakatan.

"Dalam isu kerajaan perpaduan, misalnya, beliau lebih pro-Pakatan. Saya rasa tidak akan timbul masalah besar (kepada DAP)," kata pemimpin PKR itu.

Sementara Anthony pula berkata: "Memang DAP bukan parti berteraskan agama. Jadi bagi kita, tidak perlu pemimpin rohani."

Ditanya kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Shamsul Iskandar dan Anthony sepakat bahawa kepemimpinan mantan timbalan perdana menteri itu secara tidak rasmi diterima berdasarkan kepercayaan yang diberikan baginya mempengerusikan mesyuarat pembangkang.

Anthony bagaimanapun menegaskan, dalam gabungan tersebut, sudah jelas tiada individu yang boleh menjadi pemimpin untuk semua kerana Pakatan gabungan ketiga-tiga parti dan mempunyai pemimpin sendiri.

Menurut mereka, isu tersebut tidak akan dibincangkan dalam konvensyen pertama Pakatan di Shah Alam, Sabtu ini, bagi memfokuskan dasar-dasar penting yang perlu diputuskan bersama.

Konvensyen sehari itu bermula jam 8 pagi diadakan di bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam dengan tema 'Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan'.

Konvensyen yang jululung-julung kali diadakan dijangka disertai 1,500 perwakilan daripada ketiga-tiga parti tersebut.

Dasar-dasar bersama gabungan pembangkang yang telah dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan dibincangkan lanjut dalam pertemuan tersebut.

Konvensyen tersebut, antaranya, diisi dengan pembentangan kertas 'Dasar Bersama Pakatan Rakyat' oleh pemimpin-pemimpin utama mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS