Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui terapung dalam keadaan separuh bogel dan leher dijerut dengan sehelai kain di dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, Jalan Semarak di Kuala Lumpur hari ini.
Mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemui tiga pekerja pembersihan sampah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang membersihkan kolam itu kira-kira 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat mangsa berumur antara 11 dan 13 tahun yang dipercayai rakyat tempatan dikeluarkan dengan bantuan unit penyelamat DBKL.
"Mangsa yang ditemui dengan hanya memakai baju tidur tanpa seluar dengan ketinggian 122 sentimeter itu dipercayai dibuang di situ dalam tempoh 24 jam yang lepas.
"Polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mayat itu dan akan memperincikan siasatan selepas menerima hasil bedah siasat yang akan dibuat esok di Hospital Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, polis tidak menjumpai sebarang senjata di tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan kes itu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Polis meminta sesiapa yang kehilangan anak perempuan agar menghubungi polis Sentul di talian 03-26 10 22 22 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. BERNAMA
